1# Pameran Petrosains DinoTrek 2

Sebelum ini, saya dan si gaman hanya melihat dinosaur dalam cerita Jurassic Park.  Tapi pada Sabtu lepas, kami berpeluang merasai sendiri pengalaman interaktif dinosaur pada pameran Petrosains DinoTrek 2 yang memaparkan kehidupan prasejarah dinosaur bertempat di Muzium Sarawak.

Pameran Petrosains DinoTrek 2
Tidak kira usia, sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan ataupun warga emas, semuanya tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman interaktif dinosaur.  Suasana di dalam bilik pameran memang meriah.  Bagi kanak-kanak, melihat makhluk prasejaran ini merupakan suatu pengalaman yang sangat mengujakan.  Golongan dewasa pula dapat menambahkan pengetahuan.  

Beratur panjang untuk
Seronok berada di pameran ini, kunjungan kami dua si gaman bolehlah dikatakan seumpama lawatan sambil belajar orang dewasa.  Di bawah ini saya kongsikan sedikit maklumat beberapa dinosaur yang kami perolehi daripada pameran tersebut.

Stegosaurus
Sekali pandang, rupanya seakan-akan biawak.  Stegosaurus merupakan haiwan herbivor dan ia dikenali kerana kepingan di belakangnya dan ekornya yang berduri.  Siapa sangka dengan saiz 9 meter (panjang) x 2.72 (tinggi) dan seberat 3,000 kilogram, stegosaurus dikatakan hanya memiliki tempurung otak yang kecil dengan saiz tidak lebih daripada otak anjing dan kemungkinan yang terkecil di kalangan dinosaur.

Velociraptor
Velociraptor ini pula antara dinosaur yang bersaiz kecil.  Saiznya cuma 1.8 meter (panjang) x 1 meter (tinggi) dan beratnya kira-kira 7 - 15 kg.  Walaupun kecil, dinosaur ini merupakan haiwan jenis karnivor dan merupakan pemangsa yang ganas.  

Protoceratops
Haiwan kecil yang mempunyai tengkorak yang besar ini antara dinosaur yang paling comel pada saya.  Walaupun berat badan herbivor ini mencecah sehingga 400 kg, tetapi saiznya sama seperti Velociraptor  iaitu 1.8 meter (panjang) x 1 meter (tinggi).  

Tyrannosaurus Rex (T-Rex)
T-Rex ini pula antara dinosaur yang paling mendapat perhatian ramai.  Agak lama juga kami menunggu masa dan giliran yang sesuai untuk mengambil gambar.  Dinosaur ini kita sudah sedia maklum merupakan haiwan karnivor.  Saiz 12 meter (panjang) x 5.6 meter (tinggi) dengan berat 7,000 kg , gigitannya dikatakan lapan kali lebih kuat daripada gigitan seekor singa.

Spinosaurus
Spinosaurus bermaksud biawak berduri, haiwan jenis karnivor ini  merupakan dinosaur pemakan daging yang besar dengan berat mencecah 4,000 kg dan saiznya pula mencecah 18 meter (panjang) x 5 meter (tinggi).   Sirip pada tulang belakangnya dikatakan mungkin bertujuan untuk mengawal suhu badan, mencari pasangan dan menakutkan dinosaur-dinosaur lain.

Maiasaurus
Bermaksud biawak bersifat keibuan.  Ia merupakan dinosaur pertama yang ditemui bersama anak, telur dan sarangnya.  Maiasaurus merupakan haiwan jenis herbivor dan ia mempunyai berat mencecah 2,500 kg dengan saiz 9 meter (panjang) x 2.3 meter (tinggi).

Banyak lagi yang hendak dikongsikan, tapi setakat ini sahaja untuk hari ini.  Sehingga berjumpa lagi pada entri yang akan datang.

0 comments: