Satu klik di pusat penjumlahan undi N.34 Krian, 16 April




Pusat penjumlahan undi N.34 Krian


Saratok:  Gambar di atas merupakan suasana di Dewan Masyarakat Saratok yang menjadi pusat penjumlahan undi bagi kerusi N.34 Krian pada Sabtu.  Kemenangan ternyata memihak kepada calon PKR, Ali ak Biju dengan majoriti 2,090 menewaskan calon SPDP, Datuk Peter Nyarok.  Bagaimanapun, keputusan penuh pilihanraya
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kesepuluh membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) masih mendapat  tempat di hati rakyat Sarawak dengan kemenangan mudah ke atas pembangkang.












Klik klik proses pembuangan undi di Engkudu





Pusat pembuangan undi di SK Engkudu, Saratok


SARATOK:  Pagi tadi saya sempat menyibuk melihat suasana proses pembuangan undi di Engkudu, salah sebuah pusat pembuangan undi di kawasan N.34 Krian.  Difahamkan di kawasan ini hanya terdapat 401 pengundi berdaftar dan daripada cerita kedai kopi yang diperolehi, BN hanya menang  tipis majoriti 18 undi di Engkudu ini.







Lebih menarik lagi, info terbaru yang saya dengar dari sumber cerita kedai kopi yang boleh dipercayai, nampaknya seperti yang diramalkan calon PKR, Ali anak Biju memberikan saingan hebat kepada calon SPDP Datuk Peter Nyarok.  Keputusan sama ada Datuk Peter Nyarok berjaya mempertahankan kerusi N.34 Krian daripada dirampas oleh PKR hanya boleh diketahui sekitar jam 6.00 petang.








Perang poster di N.34 Krian, Saratok


SARATOK:  Perang poster sempena Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kesepuluh di kawasan DUN N.34 Krian cukup meriah.  N.34 Krian bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon SPDP (BN), PKR, SNAP dan calon Bebas.  Jika diukur dari perang poster, nampaknya calon PKR Ali ak Biju agak menyerlah berbanding calon SPDP Datuk Peter Nyarok.  Manakala, bayang-bayang poster SNAP dan BEBAS hampir-hampir tidak kelihatan.




















TIADA Red Carpet Untuk Anwar Ibrahim


Kemeriahan kempen pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang kesepuluh ini cukup hangat pada hari-hari terakhir.  Saya pun secara tidak langsung terkena tempias untuk menyibuk walaupun bukan berdaftar sebagai pengundi di Sarawak.



Memandangkan kempen-kempen Barisan Nasional (BN) biasa didengar dan dibaca di media massa, jadi apa salahnya sekirannya saya mengambil peluang untuk mendengar sendiri apa kata pembangkang.  Pucuk dicita ulam mendatang, ada pula info mengatakan Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ceramah di kawasan BDC, Kuching pada sekitar jam 7.00pm pada Khamis.







Hujan renyai-renyai tidak menghalang orang ramai untuk berhimpun.




Sebenarnya perasaan ingin tahu mengenai apa sebenarnya yang membuatkan Anwar Ibrahim digeruni membuatkan saya ingin melihat sendiri cara beliau mendekati rakyat.  Biasa dengar di media, kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak pembangkang tidak mendapat sambutan.  Tapi setiba sahaja di lokasi, nampaknya hujan langsung tidak menghalang orang ramai untuk datang dan menanti seawal jam 6.30pm.






Ceramah oleh beberapa orang pemimpin DAP




Pada mulanya, saya ingatkan tempat diadakan ceramah tersebut sama seperti yang saya lihat sebelum ini di mana terdapat pentas berhias dan kerusi disediakan untuk para hadirin serta berkanopi.  Agak terperanjat juga bila melihat ceramah diadakan secara terbuka iaitu di kawasan lapang tempat letak kereta.  Sementara pentasnya pula ala kadar sahaja.  Santai dan bersahaja tanpa tekanan protokol majlis ... suatu pendekatan yang cukup menarik .






Ribuan yang hadir menyebabkan suasana agak sesak.




Bayangkan, tiada kemudahan selesa yang disediakan oleh penganjur tetapi ribuan hadir membanjiri kawasan tersebut dan menjadikan keadaan agak sesak.  Selalunya, keadaan sebegini cuma dapat kita lihat ketika konsert ataupun karnival berbentuk hiburan.






Sanggup membawa bangku plastik sendiri




Lebih menarik lagi, ada yang membawa kerusi sendiri dan ada juga yang duduk di belakang lori.  Kehadiran Anwar Ibrahim juga tidak disambut dengan karpet merah tetapi tetap mendapat tepukan dan sorakan daripada penyokongnya. 






Rezeki ada di mana-mana








Sekitar kawasan kedai makan berhampiran juga turut dibanjiri orang ramai







Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba pada kira-kira jam 9.20pm.  TIADA Red Carpet
Untuk Anwar & TIADA kerusi untuk audien ... tetapi menakjubkan
kerana mereka sanggup berdiri berjam-jam lamanya semata-mata untuk
menanti dan mendengar ucapan daripada pemimpin ini.  Mungkin inilah yang
dikatakan sebagai ilmu pengaruh seperti judul buku yang ditulis oleh seorang penulis terkenal.















Mesej untuk rakyat Sarawak




Cukup besar, cukup jelas dan cukup menonjol tetapi adakah mesej ini mampu meraih undi rakyat pada pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10  yang jatuh pada 16 April ini. Penduduk di sekitar Kuching pasti tahu di mana lokasi gambar ini di ambil ^_^