Walai Krusye @ TweetMarket #TwtUpKch 2012






Taukeh Walai Krusye ♥‿♥


Letih tapi sangat menyeronokkan apabila menjadi salah seorang vendor yang turut sama memeriahkan TweetMarket #TwtUpKch yang berlangsung pada Sabtu, 8 Disember.  Program yang menghimpunkan ratusan pengguna media sosial Twitter, Facebook, Foursquare dan Instagram ini merupakan anjuran Sarawak Bloggers







No.13:  Booth Walai Krusye


Walaupun masa agak terhad untuk membuat persediaan untuk booth ini,
ditambah lagi dengan komitmen lain yang juga memerlukan perhatian ...
TAPI akhirnya dapat juga turut sama memeriahkan #TwtUpKch sebagai salah seorang vendor pada hari tersebut.  Suasana pada hari tersebut sangat happening!










Si gaman jadi assistant ♥‿♥


Ini merupakan pengalaman kali pertama menjual di tempat awam, jadi
perasaan gemuruh bercampur gelisah sangat terasa tapi semua itu sedikit
demi sedikit hilang setelah mendapat respon positif daripada orang
ramai.








Antara benang yang dipamerkan


Paling menyeronokkan apabila ada seorang rakan crocheter dikenali
daripada FB page datang untuk belajar mengait kasut bayi.  Sayangnya
masa agak terhad dan saya cuma dapat mengajarkan yang paling asas. 
Dengar kabar, CT Zue sudah berjaya menyiapkan sepasang kasut bayi malam
tadi ♥‿♥








Salah seorang rakan crocheter belajar mengait kasut bayi


Ok la setakat ini sahaja dan sehingga berjumpa di lain entri.  Ingin tahu lanjut mengenai Walai Krusye bolehlah email saya di home.niaga@yahoo.com untuk sebarang pertanyaan.


Buat Duit Online Dengan Berniaga


Monetizing ur Blog. Ini public talk yang saya hadiri pada November 2011 yang lepas bersempena dengan Expo ICT yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.  Gambar lama dan cerita lama, tapi ada sesuatu yang ingin saya kongsikan di sebalik gambar lama dan cerita lama ni.  






Public Talk pada Expo ICT 2011

Public talk "Monetizing Ur Blog" ni telah dikendalikan oleh dua orang kuat Sarawak Bloggers iaitu Cyril & Kee Man.   Banyak tips yang dikongsikan oleh kedua mereka tentang bagaimana hendak menjana duit secara online menerusi blog.  






Kee Man & Cyril

Rasanya rugi siapa-siapa yang tidak hadir pada hari tersebut sebab
hampir semua tips yang diberikan setakat ini berjaya membantu blog http://myhomeniaga.blogspot.com/ dan http://walaikrusye.blogspot.com/ buat duit ♥‿♥ Antara yang dikongsikan ialah cara-cara meletakkan iklan, pemilihan tajuk entry yang menarik, pemilihan media sosial pengiklanan dan beberapa lagi. 






Baby sneakers converse style

Tapi perkara yang paling saya ingat ialah, menurut mereka kebanyakan
bloggers yang berjaya menjana pendapatan lumayan menerusi blog
sebenarnya adalah blog yang menjual produk.  Jadi untuk dapat income yang lebih umpphhhh ... saya pun terjunlah dalam dunia biz online dengan menjual hasil kraftangan krusye ♥‿♥






Baby Booties

Semua ni tidak berlaku secara tiba-tiba, saya bermula dengan sekadar mencuba-cuba nasib sahaja pada sekitar Mei lepas untuk melihat sejauh mana menjual produk menerusi blog mampu menjana pendapatan.  Tidak sangka pula satu-satunya bakat kraftangan yang saya ada iaitu seni krusye sehingga ke hari ini mampu memberikan pulangan.  Tidaklah beribu-ribu ringgit macam blogger lain, cukup-cukup makan saja bah ♥‿♥






Tote bag

Selepas hampir lima bulan bergiat aktif dalam bidang kait-mengait ni dan setelah mempertimbangkan sambutan customer online yang memberangsangkan ... saya fikir mau pegi register saja biz kait-mengait saya ni secara sah supaya dapat mengembangkan jarum dan benang kait saya di seluruh Malaysia ... cewah!!!






In progress - tempahan 110 facial tissue holder

Lagi pula dalam pembentangan Belanjawan 2013, salah satu insentif yang bakal diberikan di bawah PROGRAM PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & MASYARAKAT ialah Program Get Malaysian Business Online (GMBO) di mana seramai 50,000 usahawan kecil bakal mendapat geran bernilai RM1,000 untuk membangunkan website.  Jadi wanita-wanita di luar sana, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Ok la, sehingga berjumpa di lain entry ... Selamat berhujung minggu ♥‿♥



** Promosi sikit, kepada sesiapa yang berminat membuat tempahan sila LIKE LIKE LIKE FB page Walai Krusye 


Dua Tiket Percuma Untuk Saksikan Konsert Zee Avi




Tiket free daripada Sarawak Bloggers


Saya dan si gaman betul-betul tidak menyangka yang kunjungan kami ke Expo ICT 2011 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu membolehkan kami mendapat dua tiket percuma untuk menyaksikan Konsert Jelajah Ghostbird Zee Avi yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di Petra Jaya pada jam 8.00 malam hari yang sama.







Public talk @ Expo ICT 2011 Kuching


Kalau diikutkan, tujuan utama kami berdua ke expo ini adalah untuk mendengar public talk "Monetizing Ur Blog" oleh Sarawak Bloggers sambil cuci-cuci mata melihat pameran ICT.  Suatu kejutan apabila pada akhir sesi ceramah, Sarawak Bloggers menawarkan empat tiket percuma konsert Zee Avi kepada sesiapa yang berjaya menjawab soalan yang diberikan.  Jadi, dua daripada empat orang yang bertuah itu adalah saya dan si gaman. 






Showcase Anugerah Carta Borneo Era 2011




Kumpulan indie, Polar


Kumpulan indie, Polar dan Ir Radzi merupakan dua daripada lima finalis akhir Anugerah Carta Borneo Era 2011 yang hadir menjayakan Showcase Anugerah Carta Borneo Era 2011 pada malam tadi (Jumaat) bertempat di Curve bar, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching.  Polar dan Ir Radzi masing-masing mempersembahkan tiga buah lagu pada malam tersebut.






Ir Radzi


Showcase ini merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Era fm Kuching untuk mempromosikan Anugerah Carta Borneo Era 2011
yang bakal berlangsung tidak lama lagi iaitu pada 10 Disember depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).






Mayze


Pada malam tersebut, hadirin yang terdiri daripada pendengar setia radio Era fm Kuching serta tetamu jemputan berpeluang berhibur menyaksikan persembahan live Polar dan Ir Radzi secara dekat dalam suasana yang santai.  Suasana lebih 'gempak' lagi dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan Mayze iaitu kumpulan indie yang pernah menjuarai pertandingan RockERA DiGi.






Mana satu saya mau undi ni ???  Undi adalah rahsia :)


Selain menyaksikan persembahan artis indie tempatan, kami yang hadir turut mengambil kesempatan untuk mengundi secara online untuk artis pilihan bagi tiga kategori dipertandingkan iaitu Lagu Borneo Paling Popular, Artis Solo/Band Borneo Paling Popular dan Artis Harapan Borneo.  







Mengundi secara online


Lima finalis akhir iaitu Ir Radzi (Kontra Analisa), Polar (Majesty), Noenaki (Pepari), Hevance (Aku Nemu), dan RDZ ft Asraf Hardy & Farid Lucille (S.O.S), mungkin berpeluang menjadi pemenang untuk mana-mana kategori.  Keputusannya hanya akan diketahui pada malam anugerah kelak.





Jadi untuk sesiapa yang ingin menyaksikan Anugerah Carta Borneo Era pada 10 Disember ini, anda boleh merebut peluang untuk mendapatkan pas-pas masuk percuma dengan menghantar sms, taipkan KCH<jarak>Nama dan No.ic<jarak>sebab mahu ke Anugerah Carta Borneo ERA dan hantarkan ke 32555.








Sidang Media Anugerah Carta Borneo Era 2011





Sidang Media

Ini merupakan pengalaman pertama saya menghadiri sidang media sebagai seorang blogger dan semuanya berjalan baik walaupun saya malu-malu tekuyung.  Sidang media ini diadakan oleh Era fm Kuching untuk Anugerah Carta Borneo Era 2011 di mana penulis blog dari Sarawak Bloggers antara yang dijemput hadir selain wartawan akhbar tempatan.






Wakil Sarawak Bloggers:  Joachim & me

Apa yang menarik, sebagai blogger yang bernaung di bawah Sarawak Bloggers, saya berpeluang melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti menarik dan juga menambahkan lagi rangkaian kenalan baru.  Dalam sidang media yang singkat ini saya berpeluang berkenalan dengan Joachim serta beberapa orang penting Era fm Kuching.






Joachim bersama anggota Lintasan Skuad Era FM iaitu Fonsby & Carrie

Sidang media ini diadakan bagi menghebahkan senarai pencalonan awal 25 artis indie tempatan dalam Carta Borneo Era 2011.  Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Lagu Borneo Paling Popular, Artis Solo/Band Borneo Paling Popular dan Artis Harapan Borneo.  Difahamkan, pemenang setiap kategori dipilih 100% melalui undian yang dibuat oleh pendengar Era fm Kuching melalui laman web www.era.fm/kuching sejak 24 Oktober lepas.  Undian peringkat pertama akan ditutup pada 6 November ini.






Chris (Executive, Integration Operations Era ), me & Nazuan (Penyampai Penyampai Radio Era Kuching)

Lima artis yang mendapat kedudukan tertinggi dalam setiap kategori
setelah selesai undian peringkat pertama akan berentap dalam undian
pusingan kedua bagi menentukan pemenang mutlak.  Pemenang setiap
kategori bakal membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000.  Selain itu,
Era fm juga turut memberikan anugerah Artis Pilihan Borneo Era fm
sebagai penghargaan kepada artis tempatan yang telah membuat sumbangan
bermakna dalam industri muzik tanah air.






Penyampai Radio Era Kuching, Osha

Acara Anugerah Carta Borneo Era 2011 akan berlangsung pada 10 Disember ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).  Acara ini bakal dimeriahkan lagi dengan persembahan Mizz Nina, Pop Shuvit, Hafiz, Stacey, Najwa Latiff dan juara RockERA, Mayze.  Acara juga akan dihoskan oleh para penyampai ERA fm Kuching, Osha, Hasmin dan Nazuan serta penyampai Riuh Pagi ERA, Ray dan Haniff.








Akur Band (Bisa Kau Berkata), Crashin Butterfliez (Bukannya Mudah), Neonaki (Pepari), Najib (Pintaku), Iris Band (Kamu Aku Satu), Caynie De (Yen Ji Kaau), Soul Catchez (Bawalah Aku), RDZ (S.O.S), ZK Band (Kehilanganmu), Avin (Sang Mentari), Claudia Gerez (Rasakan), Ir Radzi (Kontra Analisa), Polar (Majesty), Shal Sagan (Heartbeat), Evenstarr (Lies), Ethnic Transmission (Pulai Penghujung), The Moonlight (Curiga), Hevance (Aku Nemu), Rubber Duckies (Grooves Are Coming Down), Chinterlizer (Jelita), Love/Comes (At Ellis Road),  Cermin (Bintang), Mayze (Sebuah Kisah Dengan Dialognya Sekali), Yasir (Ke Puncak Itu) dan Carrie (Confusion).








MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011


BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang berlangsung pada Ahad, 3 Julai lepas memahat memori di yang mungkin kami dua si gaman tidak akan lupakan sampai bila-bila.  Ini merupakan pertama kali kami dua si gaman bersama-sama mencuba aktiviti lasak yang benar-benar menguji kecekalan mental dan fizikal. 






Team MyGamanBorneo:  S'gin & Jaw's

Memilih untuk menyertai Malta Penrissen Summit Trekking Challenge sejauh 15 kilometer, penyertaan kami pada program ini adalah percuma menerusi Sarawak Bloggers
yang bertindak selaku media online bagi progam cabaran eko pelancongan
ini.  Jadi mana-mana blogger di luar sana yang ingin menikmati pelbagai
peluang menarik seperti ini, sertai Sarawak Bloggers dan rajin-rajinlah melayari portal rasmi mereka.






Sesi briefing untuk para peserta Cabaran Malta


Memandangkan kami menyertai Malta Penrissen Summit Trekking Challenge, jadi cerita kami dua si gaman mungkin terhad kepada kategori ini sahaja.  Sebelum flag off, semua peserta diberi penerangan ringkas mengenai laluan yang harus diambil oleh setiap pasukan.







Beratur untuk punch passport


Sebelum pelepasan, pemeriksaan senarai nama setiap pasukan dibuat terlebih dahulu.  Untuk rekod, kategori Malta Penrissen Summit Trekking Challenge merupakan yang ketiga dilepaskan.  Pelepasan pertama adalah peserta kategori Kalimantan View Trekking Challenge dan diikuti oleh Batu Panggah Trekking Challenge.







Staff yang bertanggungjawab untuk flag off


Dalam menanti masa untuk flag off, sempat juga lensa kamera kami dua si gaman merakamkan gambar pegawai yang bertanggungjawab melaksanakan tugas Flag Off.







Map untuk cabaran Batu Panggah, Kalimantan View & Malta


Gambar di atas merupakan peta laluan yang perlu ditempuhi oleh setiap pasukan mengikut kategori.  Kalau tengok peta memang nampak senang sahaja, pada ketika itu belum dapat membayangkan bagaimana situasi dan cabaran sebenar di dalam hutan yang bakal kami harungi nanti.







Pelepasan untuk cabaran Malta, 15 kilometer


Yeah! Flag Off!  Semua peserta berlari untuk saling mendahului antara satu sama lain.  Saya pula yang versi gear kura-kura tertinggal di belakang.  Kalau tidak silap cuma terdapat tiga pasangan lelaki dan perempuan yang menyertai cabaran Malta ini termasuk kami dua si gaman, sementara yang lain semuanya pasangan lelaki.







Si gaman mula pasang gear satu ^_^


Cuma dalam beberapa saat, kebanyakan peserta sudah hilang dari pandangan kami, yang tinggal cuma beberapa pasukan termasuk kami dua si gaman.  Kami tidak dapat merakamkan banyak gambar berikutan terdapat pelbagai rintangan sukar yang perlu diharungi dengan penuh berhati-hati.







Suasana sejuk dan kelam


Untuk pasukan MyGamanBorneo, si gaman bertindak sebagai ketua dan saya pula mengekori daripada belakang.  Kami bergerak dalam pacuan yang konsisten bagi mengelakkan keletihan mengejut dan kekejangan pada otot.







Kelihatan beberapa peserta sedang berehat


Kurang dari setengah jam merentas hutan kami bertemu dan memintas beberapa peserta yang sedang berehat untuk memulihkan tenaga.  Mereka bukan sahaja terdiri daripada peserta cabaran Malta tetapi juga peserta cabaran Batu Panggah dan Kalimantan View yang saya fikir sudah dilepaskan mendahului setengah jam daripada peserta cabaran Malta.







Macam relax saja si gaman menaiki bukit


Nampaknya, menyertai cabaran seperti ini bukan mementingkan siapa cepat atau siapa lambat, semangat berpasukan dan faktor keselamatan merupakan antara yang paling penting.  Pendek kata "Biar lambat asal selamat".







Saya pula bergerak macam kura-kura


Kami dua si gaman bergerak berhati-hati kerana takut tergelincir berikutan laluan agak basah dan licin ditambah lagi dengan kesan-kesan tapak kaki bertindih yang telah merosakkan struktur tanah di kebanyakan laluan.






Berhenti beberapa saat untuk mengambil nafas


Sesekali kami bertembung dengan beberapa situasi, antaranya ada pasangan yang bertekak akibat berbeza pendapat, ada juga yang ditinggalkan oleh pasangan mereka bersendirian.  Malah ada juga yang mengalami kekejangan otot serta termuntah-muntah, mungkin akibat keletihan dan perut kosong. 







Kawasan ini dipenuhi oleh batu-batuan besar


Tempat si gaman bergambar ni memang cukup menyeramkan, penuh dengan batu-batuan besar berlumut, laluan licin dan dilitupi daunan kering yang menjadi persembunyian pacat-pacat nakal.  Saya pula entah berapa kali terjerit dan membuatkan si gaman terkejut gara-gara
pacat-pacat nakal yang cuba untuk menghisap darah pada betis saya yang keladi bunting ^_^







Laluan berbatu yang basah, licin dan curam


Lebih menarik lagi, kalau sesiapa masih ingat cerita "Anacondas: The
Hunt for the Blood Orchid
", lokasi ini antara yang mirip seperti dalam
cerita tersebut.  Cuma lensa kamera tidak mampu menggambarkan suasana
sebenar di sini. 







Antara laluan yang sukar


Babak paling menarik yang sempat lensa kamera kami rakamkan pada BHR Padawan Nature Challenge 2011 adalah gelagat peserta ketika cuba melepasi rintangan kayu balak yang melintang menghalang laluan yang agak curam.







Saling bantu-membantu untuk melepasi rintangan kayu balak


Dalam keadaan ini, setiap pasukan saling bantu membantu antara satu-sama lain dan tiada sikap mementingkan diri sendiri.  Untuk pengetahuan, ini cuma salah satu laluan sukar yang sempat lensa kamera kami rakamkan sebelum sampai ke Passport Control Point Mara T2.







Lokasi selepas Passport Control Point Mara T2


Selepas melepasi Passport Control Point Mara T2, kami dua si gaman memintas sebuah pasukan yang sedang berehat.  Hujan yang turun menyukarkan dan melambatkan pergerakan kerana kami terpaksa lebih  fokus dan berhati-hati ketika melangkah.







Pemandangan Passport Control Point Mara T2


Sepanjang penjalanan selepas Passport Control Point Mara T2 sehinggalah di Kalimantan View Point, kami dua si gaman langsung tidak terserempak dengan mana-mana peserta.  Kami memikirkan mungkin mereka bergerak begitu pantas.







Pemandangan menakjubkan dari Kalimantan View Point T3


Di Kalimantan View Point, kami berehat seketika sambil cuba merakamkan seberapa banyak pemandangan indah yang dapat dilihat dari sini.






Kelihatan beberapa pelancong tempatan


Di sini kami terserempak dengan beberapa pelancong tempatan.  Sementara itu, ketika di Kalimantan View Point ini cuma terdapat beberapa anggota PGA.  Kami kemudiannya ditunjukkan arah untuk meneruskan cabaran Malta.







Gambar kenangan di Kalimantan View point


Sebelum meneruskan perjalanan, saya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan di sini walaupun dalam keadaan comot.






Cabaran Malta diteruskan


Perjalanan kami teruskan mengikut laluan yang ditunjukan.  Kami berjalan berhati-hati dan berpandukan tanda-tanda cat merah pada batang pokok bagi mengelakkan kami tersalah laluan.  Kami kemudian tiba di Passport Control Point Mt Penrissen Summit T3 di mana kami mendapati tiada sesiapa menanti di sana.









Titik permulaan detik cemas


Kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di Passport Control Point Batu Panggah T4.  Perasaan kemudian bertukar cemas apabila melihat tiada sesiapa yang
menanti di Passport Control Point Batu Panggah T4 ini.  Sila baca Detik Cemas MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011 untuk mengetahui apa yang kami lalui selepas itu.






Berjaya melepasi detik-detik mencemaskan


Perasaan lega selepas berjaya melepasi detik mencemaskan.  Saya mengambil gambar ini beberapa minit selepas menenangkan perasaan dan memulihkan semangat yang hampir hilang.  Walau apapun, kami bersyukur kerana selamat dan berjaya mengharungi cabaran sebenar.







Kami menanti bantuan tiba di sini


p/s:  Inginkan cabaran yang Seronok, Mendebarkan dan Mencemaskan?  Sertai MyGamanBorneo pada BHR Padawan Nature Challenge 2012.  Tahun depan akan mencuba Batu Panggah Trekking Challenge (Open) sekiranya tiada aral melintang ^_^ Sila lihat Album BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang kami rakamkan.











Detik Cemas MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011


Tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita mengenai pengalaman kami
dua si gaman ketika menyertai BHR Padawan Nature Challenge yang baru
berlangsung pada Ahad, 3 Julai menerusi kategori Malta Penrissen Summit
Trekking Challenge sejauh 15 kilometer.  Pelbagai pengalaman menarik di
sepanjang cabaran dari garis permulaan hingga di T2 water station, Kalimantan View Point
Tetapi paling tidak dilupakan ialah detik-detik cemas di
Passport Control Point Batu Panggah T4.  Syukur kami berdua selamat
menamatkan cabaran ini dengan pimpinan Tuhan dan rasanya lebih baik kami berkongsi cerita detik-detik cemas yang kami lalui.  Pada kami ini bahagian yang paling menarik yang dinamakan CABARAN.






Tiada lagi staff menanti


Sebelum tiba di Passport Control Point Mara T2 kami dua si gaman saling
dipintas dan memintas dengan beberapa peserta untuk kategori sama iaitu
Malta Penrissen Summit Trekking Challenge. Kemudian selepas melalui
Passport Control Point Mara T2, kami kemudiannya berjaya memintas cuma
satu pasukan (lelaki dan wanita) yang sedang berehat akibat keletihan.  Cuaca bertukar mendung dan hujan menyukarkan dan melambatkan perjalanan kami, bagaimanapun kami akhirnya tiba di T2 water station, Kalimantan View Point kira-kira jam 2.20 petang. 







Suasana kelam dan sunyi di T4


Berikutan kami bergerak dalam pacuan yang perlahan tetapi konsisten, kami kemudiannya mengambil peluang berehat seketika di T2 water station, Kalimantan View Point
Kami dua si gaman  kemudiannya ditunjukkan arah untuk meneruskan
cabaran Malta.  Perjalanan diteruskan, kami memikirkan bahawa kami pasti
bertemu dengan pasukan lain yang telah memintas kami sebelum ini yang
mungkin sedang berehat seperti sebelum ini.  Timbul sedikit perasaan
hairan apabila tiba di Passport Control Point Mt Penrissen Summit T3,
tiada sesiapa menanti di sana.  Kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di Passport Control Point Batu Panggah T4.







Lokasi Batu Panggah


Perasaan kemudian bertukar cemas apabila melihat tiada sesiapa yang menanti di Passport Control Point Batu Panggah T4 ini.  Perasaan takut mula menguasai fikiran saya, ditambah lagi dengan suasana yang tiba-tiba bertukar kelam secara tiba-tiba berikutan hujan.  Untuk berpatah balik adalah mustahil kerana kami melihat tanda hanya tinggal 3 kilometer sahaja lagi untuk menamatkan perjalanan tersebut.  Rasa takut dan panik yang menguasai diri saya pada ketika itu membuatkan saya hilang tumpuan untuk meneruskan perjalanan ketika menuruni lereng-lereng curam dan licin menyebabkan saya sering tergelincir, syukur ada tali untuk berpaut pada lereng yang kecerunannya kira-kira 70 darjah itu. 







Antara laluan licin dan curam yang dilalui


Si gaman agak tenang walaupun di wajahnya terpancar sedikit kerisauan berikutan suasana di dalam hutan tersebut bertukar semakin gelap dan tanda cat merah pada pokok semakin sukar dilihat.  Skru-skru pada lutut saya pada ketika itu semakin longgar berikutan perasaan takut yang teramat sangat.  Tergelincir, terduduk dan terbaring sudah tidak terhitung lagi berikutan terlalu cemas.  Ada ketikanya, saya menangis tanpa air mata kerana terlalu panik ... no women, no cry la katakan berikutan usaha si gaman menenangkan saya tidak berjaya.  Di mata saya pada ketika itu terbayang pula suasana cerita Anakonda hehehe ...





Memandangkan suasana bertukar gelap terlalu cepat, si gaman hampir-hampir lagi menghubungi nombor kecemasan untuk mendapatkan bantuan dan syukur saya teringat yang saya mempunyai nombor telefon big boss Sarawak Bloggers, Cyril Dason.  Cubaan kali kedua, kami berjaya menghubungi Cyril dan beliau membantu kami untuk memaklumkan pihak penganjur.  Terima kasih Cyril.  Kami juga mendapat tahu bahawa closing ceremony sudah berakhir pada ketika itu.  Hal itu semakin membuatkan saya semakin panik, syukur si gaman sering cuba menenangkan saya.




Perasaan cemas dengan suasana gelap di dalam hutan tersebut membuatkan kami dua si gaman tidak perasan bahawa kami sebenarnya sudah begitu hampir dengan kebun organik BHR.  Kami tiba di situ pada kira-kira jam 4.20 petang.  Ketika menanti bantuan tiba di kawasan kebun organik tersebut, baru kami dua si gaman sedar bahawa dua pasukan cabaran Malta yang memintas kami sebelum ini tidak meneruskan perjalanan tetapi sebaliknya menggunakan jalan pintas.




Kami dijemput oleh seseorang bernama Louis dengan menggunakan kenderaaan pacuan empat roda.  Ditanya sama ada masih ada pasukan yang tertinggal di dalam sana, kami memaklumkan mungkin ada sekiranya pasukan yang kami pintas selepas Passport Control Point Mara T2 meneruskan cabaran.  Harap-harap mereka tidak meneruskan perjalanan seperti kami dua si gaman yang terperangkap dalam gelap.





Ketika di perkarangan garis penamat, rupa-rupanya kami dua si gaman merupakan pasukan yang paling akhir sampai.  Kami dimaklumkan oleh salah seorang staff di situ bahawa ketiadaan staff di Passport Control Point T3 dan T4 adalah berikutan sudah 'TIME OUT'.  Malangnya, kami dua si gaman tidak tahu pula bahawa BHR Padawan Nature Challenge ini ada time out.  Kalau tahu, kami akan berhenti setakat di Kalimantan View Point.  Walau apapun yang penting kami dua si gaman sudah selamat dan terima kasih juga di atas bantuan dan keprihatinan pihak penganjur.




p/s:  Nantikan kisah menarik mengenai BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang akan kami dua si gaman ceritakan pada post akan datangUpdate! Sila klik di sini.