Parking fees: Antara kos yang perlu ditanggung untuk mencari idea penulisan blog
Tiada idea untuk update blog? Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh semua blogger. Selalunya, kalau ketandusan idea saya akan mencari berita-berita sensasi untuk diulas tapi bila selalu buat macam tu boring juga.
Kemudian, secara dengan tidak tiba-tiba saya bertemu dengan satu teknik yang paling berkesan untuk aktiviti update meng'update blog ini iaitu dengan cara menjadi seorang 'Wartawan Blog'. Saya cuma perlu melantik diri sendiri sebagai wartawan tidak berbayar untuk mengutip dan mengumpul maklumat dan seterusnya disiarkan kepada umum menerusi media online ini.
Wah, seharian pada Jumaat menghabiskan masa di luar memang agak berbaloi juga kerana berhasil mengumpulkan beberapa bahan untuk diceritakan di blog ini. Jadi, tunggu dan lihat pada update-update yang akan datang.
Dalam minggu ini sahaja, blog saya ini sudah bertukar-tukar baju lebih lima kali gara-gara ketagih sangat dengan aktiviti tukar-tukar template dan background. Biasalah orang perempuan kan, suka sangat benda yang kiut miut. Setakat ini, saya berpuas hati dengan wajah baru blog saya, harap-harap tiada kesilapan pada kod HTML yang membuatkan template blog saya berbeza jika dilihat menerusi IP address lain.
Pernah terfikir untuk mengubah template blog kepada yang lebih menarik? Cuma pergi http://btemplates.com/ atau mana-mana web yang menawarkan template percuma. Tutorial untuk upload template baru ada ditunjukkan di situ. Paling penting, jangan lupa buat backup untuk template asal blog. Kalau tidak pandai buat, panggil saya ^_^
Cara meningkatkan bilangan pengunjung/pembaca blog merupakan antara topik menarik yang dikongsikan pada program Sarawak Bloggers' Talk: More Than A Blog. Program yang diadakan pada 21 Mei lepas ini merupakan anjuran Willie Esther (Reptoz.Com) dengan kerjasama Sarawak Bloggers dan Alvin Leong Academy of Photography. Selain itu, ia juga turut mendapat tajaan daripada Abg Faisal Barawi (abgfaisaljournal.blogspot.com), Desmond Jerukan (www.nadai.name/ dan Wan Hashim (wanhashimblog.blogspot.com).
Berbalik kepada tip untuk meningkatkan aliran trafik pada blog, berikut saya cuba kongsikan ilmu-ilmu yang disampaikan oleh Willie Esther yang blognya menerima lebih 200 pengunjung pada setiap hari. Memandangkan ianya disampaikan dalam English, jadi saya akan cuba sampaikan dalam Bahasa Melayu mengikut gaya penulisan saya sendiri ^_^
Blog Walking: Luangkan masa sejam dalam sehari untuk melayari dan membaca sekurang-kurangnya tiga blog pada setiap hari.
Tinggalkan Jejak Kasih: Pastikan anda meninggalkan jejak menerusi komen pada entri blog yang dikunjungi bagi memudahkan pemilik blog tersebut membuat kunjungan balas.
Pilih Tajuk Sesuai: Setiap entri memerlukan pemilihan tajuk yang bersesuaian menggunakan perkataan-perkataan yang popular bagi membolehkan ianya menerima suapan paling atas pada carian google. Elakkan menguna tajuk yang sama seperti blogger lain.
Update Blog Pada Waktu Puncak: Rujuk statistik pengunjung blog untuk melihat pada waktu bila blog anda menerima kunjungan paling banyak. Waktu yang dicadangkan adalah pada pagi sekitar jam 7.00 - 8.00am, tengahari 12.00 - 2.00pm dan petang selepas jam 5.00 petang.
Beri Ganjaran/Hadiah Kepada Pembaca: Ini merupakan sering dilakukan oleh kebanyakan blogger untuk meningkatkan trafik pada blog mereka menerusi contest tertentu. Cara ini juga membantu meningkatkan bilangan follower.
Anjur Program Menarik: Ini mungkin hanya berani dilakukan oleh blogger tertentu sahaja seperti Willie yang telah berjaya menganjurkan program 'Sarawak Bloggers' Talk: More Than A Blog'.
Menjadi Penaja Program: Contohnya seperti yang dilakukan oleh Abg Faisal Barawi (abgfaisaljournal.blogspot.com), Desmond Jerukan (www.nadai.name/ dan Wan Hashim (wanhashimblog.blogspot.com).
Cara nombor 1 - 5 bukan sahaja membantu meningkatkan bilangan trafik harian, tetapi akan turut merangsang pendapatan pasif menerusi unit-unit iklan yang dipasang pada blog. Sementara nombor 6 dan 7 akan menjadikan anda seorang blogger yang dikenali ramai.
Jadi, sesiapa yang tahap kesihatan blognya agak kurang memuaskan seperti blog saya ini, apa kata kita ramai-ramai mencuba teknik-teknik yang dinyatakan di atas.
Gambar di atas merupakan header baru untuk blog Meet My World milik anak buah saya si Bibi yang saya buat menggunakan perisian PhotoScape. Bertemakan warna purple, saya turut memilih beberapa gambar kiut miut yang saya google dari internet untuk digabungkan menjadi hiasan pada header. Selain itu, pada header blog ini juga turut diselitkan gambar tuan punya blog yang paling cute. Wah ... nampaknya si Bibi gumbira betul dengan header baru termasuk background baru blognya.
Membuat analisis blog lain dikatakan penting ke arah membina blog yang lebih baik. Jadi, tugasan keempat memerlukan saya mengenal pasti salah sebuah blog yang sukses dan berada di kedudukan paling popular pada ketika ini menerusi carian google atau mana-mana web komuniti blogger. Memandangkan blog yang saya kendalikan ini berkonsepkan diari maya versi ABC Special, jadi blog yang dipilih juga perlu mempunyai konsep yang sama bagi memudahkan saya membuat analisis.
Setakat ini, blog yang sangat sukses ketika ini dan sering menjadi sebutan di kalangan blogger ialah blog redmummy. Blog ini juga berkonsepkan sebuah diari maya yang tidak terikat kepada satu topik sahaja. Ia meliputi pelbagai topik menarik antaranya pengalaman peribadi hinggalah ke segmen keibubapaan, kesihatan, fesyen serta produk.
Redmummy, mula berkecimpung dalam bidang penulisan blog sejak September 2005 dengan menggunakan domain percuma blogspot sebelum bertukar kepada domain berbayar. Menggunakan tema merah garang untuk blog beliau, blogger terkenal, Mira Abu Bakar yang terkenal dengan gelaran redmummy nampak lebih selesa dengan gaya penulisan yang santai.
Perkara paling menarik, redmummy juga mampu meraih pendapatan lumayan menerusi pemasangan iklan nuffnang di blog yang menjana pendapatan melebihi RM10,000 setiap bulan. Selain itu, pendapatan turut disumbang melalui unit-unit iklan yang disewakan kepada pengiklan. Kisah kejayaan redmummy ini pernah mendapat liputan media, jadi tidak hairanlah blog redmummy.com menjadi inspirasi kepada ramai blogger pada hari ini.
Sesiapa yang pernah berkunjung ke blog redmummy juga pasti terpegun dengan ratusan jumlah komen pembaca yang diterima pada setiap entri. Tidak hanya berkomunikasi di blog, redmummy juga memanfaatkan laman-laman sosial popular seperti facebook dan twitter untuk berkomunikasi dengan 'follower'nya. Saya pun merupakan salah seorang daripada 'follower' redmummy ^_^
#Soalan cepu emas: Apa faktor utama yang mendorong anda mengunjungi blog redmummy? Kalau saya, secara terus terang, memang mau korek ilmu soal menjana 'RM' dan kerana itulah juga saya memilih nuffnang.
Mempromosikan blog sememangnya menjadi perkara wajib bagi setiap blogger. Ia bertujuan untuk menarik lebih banyak trafik ke blog masing-masing menerusi pelbagai cara antaranya menggunakan laman-laman sosial popular seperti facebook dan twitter.
Selain itu, saya juga berdaftar sebagai ahli di Sarawak Bloggers |Bloggers.Com| BorneoColours|Blog Malaysia| Laman web komuniti seperti ini turut membantu. Cara lain yang pada pendapat saya agak berkesan meningkatkan trafik ialah dengan meninggalkan komen serta link pada ruangan komen blog-blog yang dikunjungi.
Teknik lain? Sedang fikir-fikir untuk digunakan pada masa akan datang. Anda pula, ada idea yang boleh dikongsikan tentang bagaimana untuk meningkatkan bilangan trafik sesebuah blog itu?
Cabaran hari kedua mengkehendaki saya membuat senarai tajuk kemas kini atau entri untuk blog ini. Menyediakan beberapa senarai tajuk entri merupakan salah satu cara untuk mengelakkan seseorang blogger itu ketandusan idea untuk mengemaskini blog pada setiap hari.
Teknik ini dikatakan semakin popular di kalangan blogger pada masa kini kerana seseorang blogger itu cuma perlu meluangkan masa untuk membuat senarai tajuk mengikut kesesuaian tema dan konsep blog yang dikendalikan. Teknik ini juga berkesan untuk memastikan blog anda sentiasa dikemas kini secara lebih teratur.
Berikut merupakan senarai entri secara umum mengikut jadual untuk Mei ini, dengan cara ini saya percaya kerja-kerja kemas kini blog akan menjadi lebih teratur. Bagi blogger-blogger yang sering ketandusan idea, apa kata tiru macam saya ^_^ teknik ini sangat sesuai untuk blog seumpama dan sewaktu dengan blog saya yang seperti ABC Special ini ^_^
#Cabaran 1: Karang/Tulis 'Elevator Pitch' untuk blog anda
Mungkin ramai yang kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan 'Elevator Pitch'. Difahamkan, ia merupakan gambaran keseluruhan tentang idea sesuatu produk, perkhidmatan atau projek itu di mana ianya harus disampaikan secara ringkas dan padat iaitu mengambil masa kira-kira 30 saat hingga dua minit atau 100 hingga 150 patah perkataan.
Istilah ini selalunya digunakan oleh ahli-ahli perniagaan, bagaimanapun 'Elevator Pitch' juga dikatakan penting untuk sesebuah blog itu terutamanya bagi mereka yang baru berkecimpung dalam bidang penulisan blog. Ia biasa digunakan dalam ruangan 'About My Blog' atau 'Mengenai Saya/Mengenai Blog Saya'. Tujuannya, bagi menerangkan tentang apa yang cuba anda kongsikan di blog.
Berikut merupakan dua contoh 'Elevator Pitch' bagi blog MyOnlineDiary:
"Perkongsian Pengalaman, Pendapat dan Maklumat Menerusi Gaya Penulisan Bebas Tanpa Tapisan."
"MyOnlineDiary merupakan sebuah diari maya yang merekodkan setiap pengalaman atau peristiwa menarik yang saya lalui. Selain itu, blog ini juga menjadi ruangan untuk menyuarakan pendapat peribadi di samping mengongsikan pelbagai maklumat berguna menerusi gaya penulisan bebas tanpa tapisan kepada semua pengguna internet yang memahami Bahasa Melayu."
*** Jadi siapa-siapa yang kekeringan idea untuk update blog, apa kata join saya buat "Cabaran 31 Hari Membina Blog Yang Lebih Baik".
Sejak akhir-akhir ini saya sering berhadapan dengan masalah kekeringan idea untuk membuat kemas kini blog. Bagaimanapun, saya telah menemui satu jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan blog ini mempunyai kemas kini setiap hari selama tempoh 31 hari seterusnya.
Selepas berdaftar secara percuma pada 25 April lepas, saya telah menerima tugasan pada setiap hari menerusi email. Bersesuai dengan cabaran "Build A Better Blog in 31 Days" jadi ini bermakna, setiap tugasan akan membantu ke arah blog yang lebih baik pada setiap hari. Jadi sesiapa yang berminat bolehlah klik link pada gambar di atas untuk berdaftar.
Lazimnya seseorang itu harus mengetahui alasan kenapa dia ingin melakukan perkara sesuatu itu dan alasan itu secara tidak langsung akan membantu dalam keputusan yang lebih tepat. Begitu juga sekiranya anda ingin menceburkan diri dalam bidang penulisan blog, anda perlu ada sebab atau alasan untuk memastikan blog anda tidak terbengkalai.
Berikut saya kongsikan 5 alasan yang membantu saya membuat keputusan untuk menjadi seorang blogger. Kelima-lima alasan ini turut saya jadikan garis panduan untuk mencapai matlamat ke arah seorang blogger yang berjaya suatu hari kelak.
1. Minat & hobi - Ini merupakan antara alasan yang sering digunakan oleh kebanyakan blogger. Minat terhadap sesuatu bidang itu membuatkan mereka menjadikan blog sebagai medium untuk berkongsi minat dan hobi.
2. Perkongsian maklumat & pendapat - Blog merupakan medium yang paling sesuai untuk seseorang itu berkongsi maklumat secara bebas tanpa tapisan. Selain itu, blog juga sering dijadikan ruang untuk menyuarakan pendapat secara lebih terbuka.
3. Mengasah bakat & kemahiran - Tidak kurang juga yang menjadi blogger semata-mata ingin mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam sesuatu bidang seperti penulisan.
4. Populariti - Siapa kata seseorang itu tidak boleh menjadi popular menerusi blog yang ditulisnya? Telah terbukti bahawa ramai blogger di luar sana berjaya mendapat perhatian ramai.
5. Wang/Duit - Ramai yang menjadi blogger kerana ingin menjana pendapatan daripada unit-unit iklan yang dipasangkan di blog mereka. Penulis blog www.redmummy.com merupakan salah satu contoh blog popular yang telah berjaya menjana pendapatan lumayan setiap bulan.
#Bagi anda, apa pula alasan yang mendorong anda untuk menjadi seorang blogger? Mungkin anda ada alasan lain yang lebih munasabah, sila kongsikan.
Artikel Mengenai Seorang Wanita, Isteri & Ibu Yang Berjaya
SIAPA sangka bermula dengan hanya memiliki blog peribadi serta menulis sekadar mengisi masa terluang, Mira Abu Bakar, 35, kini berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan hasil daripada menulis blog.
Malah dengan pendapatan itu, dia mampu membeli barang berjenama mewah serta bercuti ke luar negara seperti Paris dan London. Mira juga tidak malu mengakui yang segala keperluannya daripada hujung rambut hingga kaki ditaja syarikat pengiklan. Malah kini pengunjung blognya sudah mencecah lebih empat juta orang dan di kalangan penulis blog, nama Redmummy.com menjadi blog peribadi paling popular dan menerima komen terbanyak daripada pembaca.
Namun menurut ibu kepada dua anak iaitu Shameel, 9, dan Melysha, 6, untuk berada pada tahap sekarang tidak semudah disangka. Ini kerana sebagai penulis blog dia terpaksa mengorbankan banyak tenaga dan masa untuk dikenali seperti sekarang.
Bercerita pembabitan awal dalam penulisan blog, menurut Mira dia menulis hanya sekadar suka-suka, seperti sebuah diari tetapi diadaptasikan secara online.
"Ketika itu saya menjadi peserta akhir untuk rancangan Fear Factor Malaysia pada 2005. Saya diminta makan testikel kambing dan badan digantung terbalik di Jambatan Putrajaya.
"Ketika itu setiap memori indah dalam Fear Factor saya coretkan dalam blog. Lama-kelamaan menjadi kemestian. Ketika itu blog peribadi masih belum popular dan saya antara pelopornya," katanya.
Menurut Mira, dia langsung tidak pernah terfikir menulis blog boleh menjana pendapatan sehinggalah suaminya Ami Shamril Kamaruddin, 35, mencadangkan agar Redmummy.com mendaftar di bawah Nuffnang.
"Saya memang tidak sukakan iklan, tetapi kerana terpengaruh dengan suami saya lakukan juga. Hasilnya selepas tiga tahun menulis dia menerima pendapatan pertama daripada Nuffnang berjumlah RM90. Diikuti RM150, RM300 sehinggalah sekarang mencecah RM10,000 sebulan.
"Memang saya sangat teruja ketika itu. Tidak sangka menulis boleh mendapat duit walaupun jumlahnya kecil," kata Mira.
Pendapatan pertama menyebabkan Mira semakin bersemangat menulis. Menariknya, blog Mira menceritakan mengenai apa sahaja. Bukan hanya menjurus kepada pengalaman peribadi tetapi termasuk panduan keibubapaan, solekan, fesyen, perhiasan seperti beg tangan, anting-anting juga ulasan filem, konsert, teater serta majlis anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Skrin dan Anugerah Bintang Popular.
"Inilah antara rahsia mengapa blog saya mendapat ramai pengunjung. Tambah pula pembaca tidak terhad kepada kaum ibu saja tetapi terdiri daripada pelbagai usia dan latar belakang," katanya.
Jika dulu, Mira hanya mengharap kepada iklan Nuffnang tetapi kini kerana populariti, Mira juga dijemput untuk menghadiri pelbagai acara perasmian produk terbaru seperti susu, alat solek, pakaian, salun dan spa sehinggalah alat teknologi seperti kamera dan telefon bimbit.
"Selepas menghadiri acara ini, saya diminta membuat ulasan mengenai produk yang saya gunakan di dalam Redmummy.com. Setiap ulasan yang saya keluarkan di dalam blog adalah berbayar," terang Mira yang menerima RM100,000 untuk ulasan iklan sepanjang tiga tahun menulis blog.
Dengarnya memang menyeronokkan, tetapi ujar Mira sejak menjadi penulis iklan masa tidurnya sudah tidak menentu. Ini kerana pada masa sama, dia juga bertugas sebagai Eksekutif Setiausaha di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur City Center (KLCC). Sebagai setiausaha, sudah tentu dia terpaksa mendahulukan tugas di pejabat kemudian barulah mengemaskini blog peribadi.
"Selepas waktu pejabat biasanya saya menghadiri majlis pelancaran produk sekiranya ada, waktu malam baru saya mengemaskini blog. Ada kalanya sehingga jam 3 pagi," akuinya.
Menurut Mira, dulu dia hanya membuat satu catatan saja sebulan. Tetapi sejak tiga tahun lalu dia semakin aktif menulis dan mengeluarkan lapan penulisan sehari secara penerbitan auto. Malah ada mencecah 10 catatan sekiranya ada ulasan untuk iklan.
"Saya perlu banyak idea untuk menghasilkan penulisan pelbagai. Saya juga tidak menggunakan bahasa Melayu baku dan menggunakan bahasa sendiri untuk mendekatkan diri dengan pembaca," katanya.
Oleh kerana kemeriahan serta kepelbagaian corak penulisan menyebabkan redmummy.com menerima anugerah Top Parenting Blogger untuk blog berbahasa Melayu anjuran Nuffnang serta memenangi Blog Idol pada 2006 disebabkan keceriaan blog bertemakan merah.
Mira juga mempunyai orang kuat iaitu Geng Blog Merah seramai lima orang dan mereka inilah yang akan menyelaras program anjuran Redmummy.com. Antaranya Hari Keluarga Redmummy.com yang diadakan di Putrajaya tahun lalu.
"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi perkenalan, permainan untuk kanak-kanak, sukaneka dan sesi menikmati makanan yang dibawa oleh semua pembaca blog Redmummy. Ini juga sebagai penghargaan kepada pembaca setia yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada Redmummy.com," kata Mira.
Tambahnya, aktiviti ini mampu mengeratkan hubungan pembaca blog Redmummy.com dan secara tidak langsung menunjukkan penulis blog juga mempunyai pengaruh tersendiri terhadap khalayaknya.
Kebanyakan pengunjung setia blognya juga mempunyai blog peribadi. Ada yang bertanya bagaimana menjana pendapatan dengan menulis blog. Mereka harus mempunyai semangat yang kuat serta tidak kenal erti putus asa.
"Paling penting menjadi penulis blog tegar perlu mendapat restu suami, ini kerana banyak masa dihabiskan di hadapan komputer. Jadi jika suami memahami, segalanya akan menjadi mudah.
"Bagi suri rumah mungkin mereka boleh melakukannya pada waktu siang selepas membuat kerja rumah. Jangan sehingga asyik berblog menyebabkan rumah tangga menjadi kucar-kacir," katanya.
Sekiranya dalam masa setahun atau dua tahun masih tidak menerima sebarang pendapatan, baginya itu perkara biasa kerana menulis blog memerlukan kesabaran tinggi.
Panduan menjana pendapatan menerusi blog:
Individu mestilah mempunyai Internet serta komputer riba yang mudah dibawa ke mana-mana.
Mulakan membaca blog popular kemudian tinggalkan komen pada lima blog popular ini.
Kemudian untuk setiap blog yang sudah diberi komen, cari pula blog lain kemudian tinggalkan tiga komen di situ begitulah seterusnya sehingga iaa berkembang.
Buat template yang menceriakan dan bukan hanya mengambil template sedia ada.
Setiap hari pastikan anda membuat 10 catatan, setiap catatan disiarkan tiga atau empat jam. Ini bagi memastikan blog sentiasa menerima kunjungan.
Mendaftar dengan laman web Nuffnang untuk memastikan blog menerima iklan daripada Nuffnang.
MEMILIH blog bertemakan sebuah "Diary Maya" berkonsepkan "Perkongsian Pengalaman, Pendapat dan Maklumat Menerusi Gaya Penulisan Bebas Tanpa Tapisan", saya menamakan blog ini MyOnlineDiary. Saya berharap nama MyOnlineDiary yang menggunakan domain percuma http://myhomeniaga.blogspot.com/ ini mampu menerangkan isi kandungan yang saya cuba kongsikan di blog ini, seterusnya menjadi satu jenama terbaik untuk blog saya.
SEBELUM INI, saya ada menyentuh mengenai kegagalan menguruskan blog secara konsisten berikutan tema/konsep yang dipilih tidak bersesuaian. Bersandarkan pengalaman tersebut, saya menyedari bahawa sesebuah blog itu sebenarnya memerlukan pemilihan tema/konsep yang benar-benar serasi dengan jiwa si blogger. Untuk memilih sesuatu tema/konsep bagi sesebuah blog itu memang nampak mudah, tetapi bagi mewujudkan keserasian bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagi anda yang mahu memastikan blog yang dikendalikan tidak ketandusan idea-idea kemas kini, apa yang ada perlu lakukan ialah membuat sedikit kaji selidik tentang diri anda. Cuba kaji, apa yang anda ingin kongsikan kepada jutaan pengguna internet? Adakah tema/konsep yang anda pilih serasi dengan minat, pengetahuan serta kemahiran yang anda miliki? Ia penting kerana keserasian itu seterusnya akan menjadi pencetus kepada idea-idea penulisan yang konsisten bagi membolehkan kerja-kerja kemas kini blog dilakukan dengan lebih kerap.
Selepas membuat beberapa kaji selidik, saya berpendapat bahawa mengendalikan blog bertemakan sebuah "Diari Maya" lebih mudah untuk dikendalikan kerana saya boleh berkongsi pelbagai bahan. Jadi, saya memutuskan untuk mengendalikan sebuah blog berkonsepkan "Perkongsian Pengalaman, Pendapat dan Maklumat Menerusi Gaya Penulisan Bebas Tanpa Tapisan."
Anda sebagai blogger, adakah tema dan konsep yang dipilih benar-benar serasi dengan jiwa anda? Apa kata, kongsikan pendapat anda pada ruangan komen.