1# Resepi: Roti Gulung Sosej & Keju

Sama tapi tidak serupa.  Kalau di blog lama (myhomeniaga.blogspot.com) dahulu saya kongsikan resepi Roti Gulung Sosej.  Di blog baharu ini pula saya kongsikan resepi Roti Gulung Sosej & Keju.  Bezanya cuma ada keju (idea keju ni saya dapat daripada gambar yang dikongsikan oleh page FB OurYouth.my♥‿♥ 

Resepi ini menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati pada harga yang berpatutan. Bahan-bahannya:  roti, sosej, keju, tepung goreng serbaguna dan minyak untuk menggoreng.

1.  Gelek roti sehingga nipis.

2.  Letakkan keju dan sosej.

3.  Gulung sebanyak yang disukai dan boleh juga disimpan di dalam peti sejuk untuk digunakan kelak.

4.  Celupkan dalam bancuhan tepung goreng serbaguna (saya gunakan tepung goreng pisang adabi).

5.  Goreng dan siap untuk dihidangkan.  Sesuai untuk sarapan dan minum petang ... yum ... yum ...
Kenapa perlu dicelupkan pada bancuhan tepung?  Sebenarnya ia bertujuan untuk memastikan roti melekat dan tidak terlerai ketika digoreng.  Selain itu, roti akan lebih rangup dan sedap dimakan.  Jadi, kepada sesiapa yang belum pernah mencuba resepi ini ... Selamat mencuba!

Beli Secara Online: Indah gambar dari rupa

Membeli-belah secara online memang sangat menyeronokkan.  Sejak membuka akaun paypal pada tahun lepas, saya mula berjinak-jinak membeli barang menerusi online daripada luar negara termasuklah Indonesia, China, Turkey dan terkini daripada Korea.

Bungkusan dari Korea
Risiko membeli menerusi online memang ada dan itulah risiko yang perlu ditanggung oleh pembeli seperti saya.  Setakat ini saya berpuas hati dengan kualiti barang-barang yang saya beli.  Bersyukur juga sebab setakat ini pengalaman ditipu dan barang tidak sampai belum pernah berlaku lagi.  

Beg kanvas
Cuma baru-baru ini saya ada membeli beg daripada Korea.  Maklumlah sekarang ni kan gelombang demam fesyen Korea merebak dan saya pun terkena jangkitannya.  Masa tengok dalam gambar memang cantik sangat dan dikatakan inilah fesyen beg kanvas yang sedang hangat di Korea.

Nampak cantik dan harganya pula murah, apa lagi laju saja jari klik-klik untuk membuat pembelian.  Bila beg ni sampai ... berkelip-kelip mata memandang ... sekali pandang macam lunch bag (beg bekal makanan) ... dua kali tengok masih macam lunch bag ... tiga kali tengok memang sah ini lunch bag hehehehe ...

Adedeiii ... betul-betul indah gambar dari rupa.  Tapi mungkin betul juga fesyen beg ni popular di Korea kan ... sebab fesyen-fesyen Korea yang menjadi kegilaan ketika ini pun kebanyakannya pelik-pelik.  Apa-apapun, saya masih belum insaf ... bulan lepas saya ada membuat pembelian beg sandang dari China.  Harap kali ini indah gambar sama dengan rupa ♥‿♥

Selamat Menyambut Kaamatan & Gawai 2013

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Selamat Hari Gawai 2013 kepada semua yang meraikannya.  Semoga tahun ini kita semua diberkati dengan rezeki yang berkelimpahan.

Waw! Lebih dua bulan tidak meng'update' blog.  Bukan malas atau ketiadaan idea tapi terlalu banyak kehilangan dan perkara menyedihkan berlaku dalam tempoh dua bulan lepas ... sehinggakan saya tidak pasti sama ada ingin terus menulis blog ataupun sebaliknya.

Tahun ini saya dan si gaman tidak merayakan Kaamatan dan Gawai kerana kami baharu sahaja kehilangan beberapa orang tersayang pada 25 April, 10 Mei dan 13 Mei lepas.