Di mana IMPIAN bertukar menjadi REALITI











 RM1 Juta Untuk Direbut Rakyat Malaysia





Setiap insan pasti akan ada impiannya yang tersendiri. Walau
bagaimanapun, apa yang diimpikan belum tentu dapat dicapai. Ada yang
mungkin mempunyai masalah dari sudut kewangan, malah ada juga yang tidak
tahu bagaimana hala tuju untuk menggapai impian mereka.









Prihatin dengan situasi tersebut, stesen no. 1 Malaysia, TV3 telah
berkolaborasi bersama Telekom Malaysia (TM) dan Dana Belia 1Malaysia
(DB1M) dalam menerbitkan sebuah program realiti yang unik, ‘Sejuta
Impian’ bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia.









Bakal disiarkan mulai 15 Mei 2011, program realiti ini menampilkan
satu kelainan apabila tidak seperti program realiti yang sedia ada yang
kebanyakannya berkaitan dengan pencarian bintang dalam dunia nyanyian,
lakonan mahupun tarian.









Istimewanya program 20 episod ini ialah ia menawarkan insentif
bernilai RM1 juta sebagai pencetus semangat dan titik permulaan bagi
merealisasikan impian dan hasrat murni masyarakat Malaysia.









“Penglibatan kami di dalam projek ini dilihat sebagai salah satu cara
menyambut baik saranan kerajaan dalam memikul tanggungjawab sosial yang
telah diamanahkan. Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pihak TM
dan rakan di DB1M, Sejuta Impian bukan sekadar sebuah program
televisyen tetapi merupakan satu platform positif yang menawarkan
insentif berguna kepada belia Malaysia untuk merealisasikan impian dan
hasrat terpendam mereka selama ini,”kata Ketua Pegawai Operasi,
Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar.









“Kami sangat teruja dengan program ini. Tanpa mengira latar belakang
dan status individu, asalkan impian yang disarankan berkaitan rapat
dengan pembangunan, membawa perubahan besar serta memberi kesan kepada
komuniti setempat dan masyarakat, anda semua mungkin merupakan di antara
individu bertuah yang terpilih untuk menerima habuan yang ditawarkan.”









Menurut Penerbit Eksekutif, Sunil Kumar, wang RM1 juta bukan diberi
sepenuhnya pada seorang pemenang saja, namun kesemua peserta yang
terpilih berkemungkinan besar mempunyai harapan untuk mencapai
impiannya.









“Setiap episod akan ada dalam lebih kurang lima orang peserta di mana
mereka akan berdiri di atas sebuah kotak simbolik dan meluahkan impian
mereka. Mereka semua mungkin akan menerima RM20 ribu atau RM5 ribu, tapi
semuanya tertakluk pada keputusan juri.”









Setiap episod akan dibahagikan kepada tiga elemen iaitu sesi
perkenalan antara peserta dengan juri, sesi penerangan dan impian yang
ingin ditunaikan dan akhir sekali keputusan juri.









Barisan panel juri yang bakal memikul tugasan berat untuk menilai dan
mengubah kehidupan peserta terdiri daripada individu-individu yang
mewakili pelbagai aspek dan bidang industri tempatan termasuklah
selebriti tersohor, usahawan berjaya, tokoh politik, ahli academia dan
ramai lagi.









Bagi mereka yang impikan impian mereka menjadi realiti, jangan
lepaskan peluang untuk menghadiri sesi ujibakat yang akan diadakan tidak
lama lagi.
Ujibakat terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia
tidak melebihi 40 tahun. Bagi mereka yang berusia di bawah umur 18
tahun, anda haruslah ditemani oleh ibubapa atau penjaga ketika hadir di
lokasi ujibakat.









Pencarian untuk para peserta ‘Sejuta Impian’ akan diadakan di Kuala
Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru pada 5 dan 6 Mac serta Kuantan,
Pahang, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah pada 12 dan 13 Mac.









Lokasi ujibakat di setiap bandar dan kriteria kelayakan peserta akan
diumumkan kelak. Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut
tentang program ini, anda bolehlah melayari laman web rasmi ‘Sejuta
Impian’ di www.tv3.com.my/sejutaimpian.





Sumber:  http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/RM1_Juta_Untuk_Direbut_Rakyat_Malaysia.html 














0 comments: