Waffle Gaya Malaysia


Biasanya waffle disapu dengan mentega, mentega kacang, kaya, susu pekat atau madu.  Tapi waffle yang hendak saya ceritakan ini sangat berbeza daripada waffle yang biasa kita makan kerana ianya berintikan rendang ayam ataupun satay ayam.






Waffle gaya kita orang


Kami dua si gaman mencuba waffle rendang ayam dan rasanya memang sedap serta mengenyangkan! Waffle ini boleh didapati di stall Magic Bite, Kuching Sentral dan
terdapat dua pilihan iaitu waffle rendang ayam dan waffle satay ayam. 







Staff Magic Bite


Penyediaannya lebih ringkas berbanding burger, roti john dan kebab kerana waffle tersebut hanya
perlu diletakkan dengan hirisan salad, rendang atau satay dan mayonis.  Sekali lagi saya katakan rasanya memang sedap terutamanya dimakan ketika masih panas-panas ... tidak percaya? ... cuba dulu baru tau ^_^









Magic Bite, Kuching Sentral


Mungkin ini akan menjadi salah satu sebab untuk kami sering datang ke Kuching Sentral.  Bagi sesiapa di sekitar Kuching yang belum pernah mencuba waffle istimewa ini bolehlah buat aktiviti jalan-jalan cari makan di Kuching Sentral selain shopping.

Ulang Tahun Perkahwinan Ke - 5




Ulang tahun kelima


Hari ini merupakan ulang tahun kelima perkahwinan kami dua si gaman.  Sedar tidak sedar, rupanya sudah lima tahun kami menjadi pasangan suami isteri ... cewah.  Sepanjang hari ini kami penuhi dengan aktiviti jalan-jalan cuci mata dan jalan-jalan cari makan.






Laksa Sarawak


Hari istimewa ini kami mulakan dengan bersarapan pagi merangkap makan tengahari Laksa Sarawak kegemaran di Thompson Corner, Tabuan Jaya.  Rasa laksa sarawak yang biasa kami makan setiap minggu ini pun lebih special berbanding hari-hari biasa mungkin kerana hari ini sangat istimewa untuk kami berdua.







Melihat pameran di Muzium Seni


Selepas kenyang perut senang hati, kami dua si gaman pergi mencuci mata melihat pameran gambar Black & White Impression Body Sculptures in Light di Muzium Seni.  Gambar-gambar hitam putih seni bina badan yang dipamerkan memang cukup menarik dan sesiapa yang berada di sekitar Kuching bolehlah meluangkan masa untuk berkunjung ke pameran yang bermula 16 Feb hingga 18 Mac.






Aiskrim kacang dan aiskrim kacang merah


Selepas dari muzium seni, kami kemudiannya pergi berurusan di beberapa tempat sebelum singgah makan aiskrim di iglool, King Centre, Simpang Tiga.  Kali ini ada sedikit suntikan suasana romantik la kunun sebab premis ini masih dipenuhi dengan hiasan suasana Valentine Day.






Makan malam


Memandangkan kami dua si gaman malas mau berulang-alik, jadi kami singgah lagi cuci-cuci mata dan makan waffle rendang di Kuching Sentral sementara menunggu waktu untuk makan malam.  Tahun ini kami memilih untuk makan di Top Sport iaitu medan makan yang popular di Kuching.  Tiada istilah candle light dinner, sepanjang lima tahun ini kami
sentiasa meraikan ulang tahun dengan makanan yang mengenyangkan.  Kita perlu melupakan diet sihat pada setiap hari istimewa seumpama dan sewaktu dengannya ^_^

Dekorasi Krusye Untuk Tandas


Seni mengait krusye merupakan satu-satunya kemahiran kraftangan yang saya miliki dan selain sanggup berhabis duit untuk buku, majalah, laksa sarawak, kek keju & coklat, saya juga sanggup berhabis duit untuk hobi krusye ini. 








Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum terfikir mengait krusye
untuk hiasan di tandas seperti gambar-gambar ini.  Kalau saya buat
tandas di rumah macam ini gerenti saya sendiri tidak mau pakai sebab bimbang akan mengotorkan krusye.








Lagi pula, tandas kita orang asia susah mau kering kerana faham-faham sajalah, di situlah tandas di situ jugalah tempat mandi.  Jadi dekorasi seumpama dan sewaktu dengannya memang tidak sesuai.








Tapi kalau ada sesiapa yang berminat untuk menjadikan tandas di rumah mereka seceria seperti gambar-gambar ini, jangan ragu-ragu untuk membuat tempahan daripada saya hehehe ...  Pilih saja pattern yang mana satu, saya akan buat dan harga boleh runding.  Ada siapa-siapa yang berminat?  ^_^









Penggemar seni mengait jarum satu krusye, boleh dapatkan koleksi pattern-pattern percuma di blog Walai Krusye.

Projek Mengait Krusye 'Granny Square'




Koleksi benang baharu


Selamat Hari Ahad.  Beberapa hari ini saya agak sibuk dengan projek krusye dan cerita projek krusye terbaharu saya kali ini ialah mengait 'Granny Square'.  Kelmarin sahaja saya telah menghabiskan lebih RM30 untuk membeli benang Acrylic
bersaiz 2.5SMM.  Tidak sangka pula harga benang kait sekarang semakin
mahal.  Semua harga barang naik.






Jarum dua mata bersaiz 5/0 dan 6/0


Jarum yang saya gunakan sahaja sudah berharga RM7.90, mahal betul tapi
memandangkan benang yang saya beli bersaiz besar jadi terpaksa juga
membeli jarum kait baharu.  Jarum kait ini mempunyai dua mata kait
bersaiz 5/0 dan 6/0.






Granny Square bersaiz kira-kira 8.5 cm


Saya sengaja beli 'rug yarn' supaya motif 'granny square' yang
dihasilkan besar, tapi tidak sangka pula agak sukar juga untuk mengait
benang yang bersaiz besar.  Sakit juga jari-jemari, lagi pula ini kali
pertama saya mengait menggunakan benang dan jarum kait bersaiz besar. 
Tapi hasilnya agak memuaskan kerana sekeping sahaja bersaiz kira-kira
8.5 sentimeter.






Cantuman 'granny square'


Saya sebenarnya kurang gemar mengait 'granny square' kerana motif jenis
ini memerlukan penggabungan beberapa warna benang dan saya kurang mahir dalam
soal-soal menggabungkan warna.  Ini 'granny square' pertama yang berjaya
saya siapkan.  Saya bercadang untuk membuat 'sesuatu' daripada
cantuman-cantuman 'granny square' ini nanti.  Bagi peminat seni krusye, boleh dapatkan koleksi pattern percuma di Walai Krusye.

Pilih Pakaian Sesuai Mengikut Bentuk Tubuh




Bentuk badan wanita


Selepas melihat gambar di atas, adakah anda memilih pakaian untuk digayakan yang tepat selama ini?  Menurut info yang saya perolehi dari sebuah majalah wanita, pakaian perlulah dipilih mengikut bentuk badan untuk tampil menarik.






Apple - Bentuk tubuh yang besar pada bahagian atas.  Mereka mempunyai bentuk begini mempunyai pinggul lebih kecil berbanding dengan bahagian bahu, lengan dan dada.  Cara terbaik adalah memilih warna yang lebih lembut pada bahagian bawah dan gelap di bahagian atas.  Elakkan top atau dress yang terlalu banyak perincian sulam, labuci, manik mahupun ropol.  Sebaliknya pilih yang ringkas dan kosong dengan fabrik lembut beralun.  Anda juga tidak digalakkan untuk memakai top yang ketat dan melekap pada tubuh.





Pear - Memiliki bahagian bawah yang besar daripada dada.  Wanita seperti ini perlu mengenakan pakaian yang berpotongan lurus atau tegak untuk kelihatan langsing.  Pilih rona lembut pada bahagian atas dan gelap pada bahagian bawah.  Untuk menjadikan bahagian pinggul nampak lebih kecil, pakai dress atau blaus dengan pelapik bahu.  Elakkan juga mengenakan celana atau skirt jenis kembang sebaliknya pilih A-line.


 


Hour Glass - Wanita yang mempunyai bentuk badan seperti ini memiliki ukuran dada dan
pinggul yang agak sama, sementara pinggangnya lebih kecil daripada dada
atau pinggulnya.  Bentuk badan hour glass merupakan idaman setiap wanita.  Mereka yang memilik bentuk badan seperti ini bertuah kerana mereka sesuai dengan apa sahaja pakaian.





Empat Segi - Mempunyai bahagian bahu, dada, pinggang dan pinggul yang sama lebar atau dengan kata lain tidak mempunyai potongan langsung.  Pilihan gaya yang sesuai adalah dengan memakai tali pinggang yang kecil untuk memberi bentuk badan pada bahagian pinggang.  Jaket model lurus yang tidak terlalu ketat, blaus atau semi jaket model 'square jacket' dikatakan mampu menyerlahkan penampilan anggun dan klasik.

Layanan Buruk Punca Peniagaan Bumiputera Tidak Kekal


Layanan dan perkhidmatan kepada pelanggan yang buruk! itulah punca kenapa banyak perniagaan yang diusahakan oleh 'Bumiputera' tidak dapat bertahan lama.  Hal ini juga merupakan punca utama kenapa bumiputera seperti saya beralih dan lebih gemar pergi ke kedai makan, kedai gunting rambut, kedai runcit atau bengkel kereta yang diusahakan oleh peniaga Cina dan India.





Ini pendapat peribadi saya setelah banyak kali berhadapan dengan sikap
peniaga bumiputera yang tidak menghargai pelanggan mereka, saya percaya
ramai di luar sana pernah mengalami pengalaman yang serupa.  Kalau di kedai makan, kita terpaksa menunggu lama.  Kalau di kedai gunting rambut, rambut digunting sambil lewa dan tidak memenuhi permintaan pelanggan.  Kalau di kedai runcit, layanan tidak mesra jika barang yang dibeli sedikit.  Itu antara senario yang sering berlaku.





Bukan berniat memburuk-burukkan peniaga bumiputera secara total tetapi ini kenyataan yang harus diterima untuk kita berubah dan mencontohi sikap peniaga Cina dan India dalam soal memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.  Sebagai bumiputera, sudah tentu saya ingin membantu peniaga bumiputera tetapi kebanyakan pengusahanya gagal memberikan layanan dan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

Pau Landak dan Pau Anjing




Pau berbentuk landak dan anjing


Siapa kata pau itu hanya berbentuk bulat?  Saya pun pada mulanya ingat pau itu cuma berbentuk bulat sahaja sebelum terjumpa dua biji pau yang comel berbentuk landak dan anjing seperti gambar di atas.  Gara-gara bentuknya yang tersangat comel jadi dengan sengaja saya membelinya sekadar untuk mencuba.  Harga sebiji RM1.20 dan ini saya beli dari salah sebuah kedai makan di BDC, Kuching.







Inti kacang merah pandan dan kacang hijau


Inti pau ini bukanlah menggunakan isi daging landak dan anjing, cuma bentuknya sahaja yang bertujuan untuk menarik perhatian pelanggan.  Pau yang berbentuk landak berintikan isi kacang merah dan pandan, manakala pau berbentuk anjing pula berintikan isi kacang hijau. 

Sahabat Punca Jantung Wanita Lebih Sihat




Pix from google


Apa bezanya di antara istilah kawan, rakan dan sahabat?  kerana menurut satu info sihat yang saya baca di majalah, wanita yang menceritakan masalahnya kepada sahabat yang tidak memberikan sokongan moral akan mempertingkatkan 44% risiko diserang tekanan darah tinggi sehingga boleh menjejaskan kesihatan jantung berbanding mereka yang memiliki sahabat yang memahami.  Jadi mulai hari ini pastikan kita memilih sahabat yang tepat untuk jantung yang sihat.