Artikel Mengenai Seorang Wanita, Isteri & Ibu Yang Berjaya
SIAPA sangka bermula dengan hanya memiliki blog peribadi serta menulis sekadar mengisi masa terluang, Mira Abu Bakar, 35, kini berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan hasil daripada menulis blog.
Malah dengan pendapatan itu, dia mampu membeli barang berjenama mewah serta bercuti ke luar negara seperti Paris dan London. Mira juga tidak malu mengakui yang segala keperluannya daripada hujung rambut hingga kaki ditaja syarikat pengiklan. Malah kini pengunjung blognya sudah mencecah lebih empat juta orang dan di kalangan penulis blog, nama Redmummy.com menjadi blog peribadi paling popular dan menerima komen terbanyak daripada pembaca.
Namun menurut ibu kepada dua anak iaitu Shameel, 9, dan Melysha, 6, untuk berada pada tahap sekarang tidak semudah disangka. Ini kerana sebagai penulis blog dia terpaksa mengorbankan banyak tenaga dan masa untuk dikenali seperti sekarang.
Bercerita pembabitan awal dalam penulisan blog, menurut Mira dia menulis hanya sekadar suka-suka, seperti sebuah diari tetapi diadaptasikan secara online.
"Ketika itu saya menjadi peserta akhir untuk rancangan Fear Factor Malaysia pada 2005. Saya diminta makan testikel kambing dan badan digantung terbalik di Jambatan Putrajaya.
"Ketika itu setiap memori indah dalam Fear Factor saya coretkan dalam blog. Lama-kelamaan menjadi kemestian. Ketika itu blog peribadi masih belum popular dan saya antara pelopornya," katanya.
Menurut Mira, dia langsung tidak pernah terfikir menulis blog boleh menjana pendapatan sehinggalah suaminya Ami Shamril Kamaruddin, 35, mencadangkan agar Redmummy.com mendaftar di bawah Nuffnang.
"Saya memang tidak sukakan iklan, tetapi kerana terpengaruh dengan suami saya lakukan juga. Hasilnya selepas tiga tahun menulis dia menerima pendapatan pertama daripada Nuffnang berjumlah RM90. Diikuti RM150, RM300 sehinggalah sekarang mencecah RM10,000 sebulan.
"Memang saya sangat teruja ketika itu. Tidak sangka menulis boleh mendapat duit walaupun jumlahnya kecil," kata Mira.
Pendapatan pertama menyebabkan Mira semakin bersemangat menulis. Menariknya, blog Mira menceritakan mengenai apa sahaja. Bukan hanya menjurus kepada pengalaman peribadi tetapi termasuk panduan keibubapaan, solekan, fesyen, perhiasan seperti beg tangan, anting-anting juga ulasan filem, konsert, teater serta majlis anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Skrin dan Anugerah Bintang Popular.
"Inilah antara rahsia mengapa blog saya mendapat ramai pengunjung. Tambah pula pembaca tidak terhad kepada kaum ibu saja tetapi terdiri daripada pelbagai usia dan latar belakang," katanya.
Jika dulu, Mira hanya mengharap kepada iklan Nuffnang tetapi kini kerana populariti, Mira juga dijemput untuk menghadiri pelbagai acara perasmian produk terbaru seperti susu, alat solek, pakaian, salun dan spa sehinggalah alat teknologi seperti kamera dan telefon bimbit.
"Selepas menghadiri acara ini, saya diminta membuat ulasan mengenai produk yang saya gunakan di dalam Redmummy.com. Setiap ulasan yang saya keluarkan di dalam blog adalah berbayar," terang Mira yang menerima RM100,000 untuk ulasan iklan sepanjang tiga tahun menulis blog.
Dengarnya memang menyeronokkan, tetapi ujar Mira sejak menjadi penulis iklan masa tidurnya sudah tidak menentu. Ini kerana pada masa sama, dia juga bertugas sebagai Eksekutif Setiausaha di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur City Center (KLCC). Sebagai setiausaha, sudah tentu dia terpaksa mendahulukan tugas di pejabat kemudian barulah mengemaskini blog peribadi.
"Selepas waktu pejabat biasanya saya menghadiri majlis pelancaran produk sekiranya ada, waktu malam baru saya mengemaskini blog. Ada kalanya sehingga jam 3 pagi," akuinya.
Menurut Mira, dulu dia hanya membuat satu catatan saja sebulan. Tetapi sejak tiga tahun lalu dia semakin aktif menulis dan mengeluarkan lapan penulisan sehari secara penerbitan auto. Malah ada mencecah 10 catatan sekiranya ada ulasan untuk iklan.
"Saya perlu banyak idea untuk menghasilkan penulisan pelbagai. Saya juga tidak menggunakan bahasa Melayu baku dan menggunakan bahasa sendiri untuk mendekatkan diri dengan pembaca," katanya.
Oleh kerana kemeriahan serta kepelbagaian corak penulisan menyebabkan redmummy.com menerima anugerah Top Parenting Blogger untuk blog berbahasa Melayu anjuran Nuffnang serta memenangi Blog Idol pada 2006 disebabkan keceriaan blog bertemakan merah.
Mira juga mempunyai orang kuat iaitu Geng Blog Merah seramai lima orang dan mereka inilah yang akan menyelaras program anjuran Redmummy.com. Antaranya Hari Keluarga Redmummy.com yang diadakan di Putrajaya tahun lalu.
"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi perkenalan, permainan untuk kanak-kanak, sukaneka dan sesi menikmati makanan yang dibawa oleh semua pembaca blog Redmummy. Ini juga sebagai penghargaan kepada pembaca setia yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada Redmummy.com," kata Mira.
Tambahnya, aktiviti ini mampu mengeratkan hubungan pembaca blog Redmummy.com dan secara tidak langsung menunjukkan penulis blog juga mempunyai pengaruh tersendiri terhadap khalayaknya.
Kebanyakan pengunjung setia blognya juga mempunyai blog peribadi. Ada yang bertanya bagaimana menjana pendapatan dengan menulis blog. Mereka harus mempunyai semangat yang kuat serta tidak kenal erti putus asa.
"Paling penting menjadi penulis blog tegar perlu mendapat restu suami, ini kerana banyak masa dihabiskan di hadapan komputer. Jadi jika suami memahami, segalanya akan menjadi mudah.
"Bagi suri rumah mungkin mereka boleh melakukannya pada waktu siang selepas membuat kerja rumah. Jangan sehingga asyik berblog menyebabkan rumah tangga menjadi kucar-kacir," katanya.
Sekiranya dalam masa setahun atau dua tahun masih tidak menerima sebarang pendapatan, baginya itu perkara biasa kerana menulis blog memerlukan kesabaran tinggi.
Panduan menjana pendapatan menerusi blog:
- Individu mestilah mempunyai Internet serta komputer riba yang mudah dibawa ke mana-mana.
- Mulakan membaca blog popular kemudian tinggalkan komen pada lima blog popular ini.
- Kemudian untuk setiap blog yang sudah diberi komen, cari pula blog lain kemudian tinggalkan tiga komen di situ begitulah seterusnya sehingga iaa berkembang.
- Buat template yang menceriakan dan bukan hanya mengambil template sedia ada.
- Setiap hari pastikan anda membuat 10 catatan, setiap catatan disiarkan tiga atau empat jam. Ini bagi memastikan blog sentiasa menerima kunjungan.
- Mendaftar dengan laman web Nuffnang untuk memastikan blog menerima iklan daripada Nuffnang.
- Rajin serta tidak kenal erti putus asa.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Jadimewahtulisblog/Article/
0 comments:
Post a Comment