Kampung Semban: 7# Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar


Dibawa melihat pokok Tapang tertinggi dan terbesar merupakan antara aktiviti yang ditawarkan dalam pakej eko pelancongan empat hari tiga malam di Kampung Semban.  Lokasinya terletak tidak jauh dari kawasan kampung iaitu hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berjalan kaki.



Walaupun belum ada kajian terperinci mengenai usia sebenar pokok Tapang yang  tingginya dianggarkan  lebih 100 meter ini, tetapi kami difahamkan pokok ini telah wujud sejak beratus tahun yang lalu.  Pokok Tapang ini juga dikatakan menjadi tumpuan kumpulan lebah membuat sarang  dan menghasilkan madu asli yang tinggi nilainya dari segi perubatan.



Ingin tahu betapa tinggi dan besarnya pokok Tapang di Kampung Semban ini, sila lihat gambar di bawah yang telah saya cantumkan menggunakan Microsoft Office Publisher 2007




Cuba bandingkan, betapa kerdilnya Uncle Sagen (tepi kanan) jika dibandingkan dengan pokok Tapang yang sebesar lima hingga enam pemeluk orang dewasa.  Menurut saya,
pokok Tapang ini mungkin lebih tinggi daripada  bangunan
SALCRA yang terletak di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan.









Kagum dengan salah satu ciptaan Tuhan dan inilah kali pertama saya menyaksikan sendiri pokok setinggi dan sebesar ini.  Sebenarnya pokok ini jauh lebih tinggi daripada apa yang dapat dirakamkan oleh lensa kamera.



















Kampung Semban: 6# Tembakau Kpg Semban




Pokok tembakau


Pakej eko pelancongan empat hari tiga malam yang ditaja oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) ternyata berbaloi kerana kami turut berpeluang melihat sendiri bagaimana tembakau diproses secara tradisional.











Lebih mengujakan lagi apabila kerja memproses tembakau ini dilakukan oleh wanita yang digelar "golden ring lady".  Ini hanya anda dapat saksikan di Kampung Semban, Padawan.






Daun tembakau yang telah dihiris halus akan disusun di atas para yang diperbuat daripada kepingan buluh nipis.






Ingin tahu? Beginilah rupa buah tembakau, benih di dalamnya sebesar benih sawi






Daun tembakau matang akan digulung dan dihiris halus menggunakan buluh






Inilah hasilnya setelah dikeringkan.  Difahamkan, tembakau yang telah siap diproses ini hanya untuk kegunaan sendiri.





Sebenarnya, banyak lagi pengalaman menarik pada hari ketiga kami berada di Kampung Semban ini, antaranya pokok Tapang yang menurut saya,
pokok Tapang ini mungkin tingginya kurang lebih sama dengan bangunan
SALCRA yang terletak di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan.  Nantikan dalam kemas kini seterusnya.








Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |


















Kampung Semban: 5# Matahari Terbit Di Gunung Kapang




Kira-kira tujuh jam lena
tanpa diulit mimpi dan sesekali dikejutkan oleh rasa sengal pada otot
kaki, akhirnya tiba hari di mana kami harus berdepan dengan satu lagi
cabaran iaitu mendaki  ke puncak Gunung Kapang pada ketinggian melebihi
1000 meter dari paras laut.









Kelihatan cahaya matahari tersembunyi di sebalik awan



Untuk menyaksikan suasana matahari terbit di lokasi paling tinggi
di Gunung Kapang, kami bangun seawal jam 5.00 pagi untuk bersiap
dan cukup sekadar membasuh muka ala-ala cerita P.Ramlee sebelum bertolak dari rumah  sekitar jam 5.30 pagi.







Lautan awan umpama gumpalan kapas gebu

Menurut Uncle
Sagen, bermula dari rumah beliau, kami akan melakukan sebanyak 1750
langkah untuk tiba di puncak gunung ini.  Jelasnya, pendakian yang akan
menyebabkan anda bermandi peluh ini mengambil masa 15 hingga 20 minit
sahaja bagi penduduk tempatan, tetapi saya mencatatkan rekod kira-kira 40
minit untuk sampai ke lokasi.  Bukan mudah untuk mendaki dengan hanya berbekalkan cahaya lampu suluh.







Deckson & Uncle Awang, masing-masing sibuk mengambil gambar

Berada di sini
untuk merasai sendiri pengalaman melihat matahari terbit perlahan-lahan
di sebalik lapisan awan, sukar digambarkan dengan kata-kata.  Ianya
lebih cantik daripada apa yang anda lihat di gambar.  Jadi, tidak hairanlah kenapa Kampung Semban mendapat gelaran "Paradise Above The Clouds"







Di puncak Gunung Kapang anda boleh menghubungi sesiapa sahaja menggunakan telefon bimbit

Sayang sekali,
kami tidak dapat menyaksikan matahari terbit yang betul-betul bulat kerana terlindung oleh awan.  Tapi berjaya mendaki hingga ke puncak sudah
cukup berbaloi dan patut dibanggakan.  







Sekumpulan penduduk kampung yang datang melihat kebun mereka

Kami seterusnya meluangkan masa hampir sejam di atas sana sambil menikmati minuman panas dan berbual-bual dengan penduduk kampung yang datang mengusahakan tanah pertanian mereka berhampiran kawasan view point ini. 






Terserempak dengan penduduk kampung ketika dalam perjalanan balik



Bayangkan, setiap
hari mereka mendaki Gunung Kapang untuk bercucuk tanam, saya percaya
penduduk di sini tidak akan berhadapan kesukaran sekiranya mereka berhajat untuk menawan puncak
Gunung Kinabalu.







Kebun lada di Gunung Kapang

Hairan kenapa mereka sanggup bersusah-payah membuka kebun di kawasan ini, saya kemudianya mengajukan soalan tersebut kepada pemilik tanah.  Saya diberitahu,  hasil tanaman mereka sering di serang penyakit  ketika ditanam di kawasan tanah rendah.  Keadaan ini membuatkan mereka beralih ke kawasan yang lebih tinggi.  Selain lada, mereka juga menanam padi bukit dan tembakau.






Laluan yang dialas dengan belahan-belahan buluh

Perjalanan pulang menuruni lereng-lereng bukit hingga ke rumah Uncle Sagen cuma mengambil masa 10 minit berbanding 40 minit masa naik.






Akhirnya tiba di kawasan kampung - Photo by Deckson STB






Kampung Semban tidak pernah menjanjikan laluan yang rata - Photo by Deckson STB











Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |












Kampung Semban: 4# Panorama Di Kpg Semban







Rumah comel dihiasi landskap milik Sagen Adan




Gambar di atas menunjukkan rumah Sagen Adan yang tidak pernah sunyi dari kunjungan
pelancong dari dalam dan luar negara.  Beliau telah mula serius
mengusahakan aktiviti eko pelancongan di Kampung Semban sejak 1998 dan
pelaksanaan projek empangan Bengoh sedikit sebanyak
memberikan impak positif kepada kemasukan lebih ramai pelancong ke sini. 
Hal ini secara tidak langsung turut meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di
kampung terpencil ini.




Untuk rekod, projek pembinaan Empangan Bengoh yang bernilai lebih RM300 juta ini dimulakan pada
2007 di kawasan seluas kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.  Apabila siap sepenuhnya kelak, empangan tersebut akan membekalkan air bersih mencukupi
kepada penduduk Kuching yang dijangka semakin bertambah bilangannya.




Kampung Sait, Kampung Bojong, Kampung Rejoi dan Kampung Semban merupakan antara kampung yang terjejas berikutan projek itu.  Untuk itu, kerajaan telah menyediakan tapak penempatan semula untuk semua penduduk yang telibat termasuk pembayaran pampasan.



Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Kami difahamkan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, lebih 300 keluarga di empat kampung terbabit terpaksa meninggalkan tanah pusaka yang telah diwarisi sejak turun-temurun ini bagi meneruskan hidup di kawasan penempatan baru.






Raja Segala Buah





Raja buah dari Kampung Semban




Terdahulu, kepulangan kami dari air terjun Susukng dan Pent disambut dengan haruman durian, raja segala buah.  Hadiah istimewa untuk Deckson dan Uncle Awang, tapi bagi saya yang bukan penggemar buah ini, cukup sekadar melihat dan mengambil gambar untuk dikongsikan di blog ini.



Selain itu, kami turut dijamu dengan hidangan kopi panas dan bubur barli hasil air tangan isteri Uncle Sagen yang tidak pernah kering tangan bagi memastikan kami mendapat layanan yang terbaik.  Terima kasih untuk aunty Kipin.



Sedang kami sedang asyik berbual mengenai pengalaman sepanjang berada di kampung ini, tiba-tiba seperti ada magnet yang menarik perhatian kami ke arah seorang wanita warga emas yang kelihatannya baru pulang dari kebun. 






 Mereka Adalah Warisan Wanita Terakhir




Salah seorang daripada tujuh wanita yang digelar "Golden Ring Lady"


Aksesori gelang
tembaga kemas melingkari lengan dan betis si pemakai ini, suatu ketika dahulu menjadi lambang kemegahan dan kecantikan wanita etnik
Embhan.  Mereka ini merupakan antara tujuh wanita terakhir etnik Embhan yang masih memakai
luyakng (di lengan) dan lasukng (di betis).  Semua ini hanya dapat anda saksikan di Kampung Semban.







Tawud Luhan, 62, duduk mengupas pinang muda di tepi dapur kayu


Kira-kira jam 6.00 petang, kami dibawa bersiar-siar melihat suasana kampung.  Kami turut singgah di rumah milik seorang lagi "golden ring lady", Tawud Luhan.  Tawud dikatakan pakar dalam membuat, memakaikan dan menanggalkan luyakng dan lasukng.





Penduduk di sini juga masih mengekalkan tradisi memasak di atas dapur kayu walaupun mereka mempunyai dapur gas.  Dapur gas biasanya hanya akan digunakan pada masa-masa tertentu berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan akibat faktor jarak.






Rumah Padi




Setiap rumah di Kampung Semban memiliki rumah padi masing-masing


Rumah padi, merupakan satu lagi keunikan yang dapat disaksikan di Kampung Semban ini. Bumbung rumah padi ini akan dibuka ketika cuaca panas untuk menjemur padi yang terdapat di dalamnya.  Penduduk di sini menanam padi untuk keperluan sendiri dan ini bermakna mereka tidak pernah membeli bekalan beras dari luar.










Senja Merah Di Banjaran Bungo




Pemandangan banjaran Bungo dari Kampung Semban


Suasana senja di Kampung semban juga cukup mengagumkan kepada sesiapa sahaja yang pertama kali sampai di sini.  Sesekali timbul perasaan seakan tidak percaya bahawa masih wujud perkampungan terpencil yang belum dihubungkan dengan kemudahan jalan raya walaupun dikatakan telah wujud lebih 60 tahun.  Kami juga diberitahu, cara terpantas untuk ke kampung ini adalah dengan menggunakan perkhidmatan helikopter pada kadar sewa RM3,500.00 sejam.








Stor Set Janakuasa Elektrik




Set janakuasa elektrik beroperasi dari jam 6.00 petang hingga 10.00 malam


Di sini, bekalan elektrik agak terhad dan ada di antara penduduk kampung memiliki set janakuasa sendiri.  Kalau tidak silap, ada dua set janakuasa di stor ini yang mana salah sebuah daripadanya seberat 200 kilogram.  Bagaimana mereka membawa set janakuasa seberat itu ke kampung ini? Persoalan inilah yang sering bermain di minda Uncle Awang.







Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana mereka memikulnya sambil menuruni dan mendaki lereng-lereng bukit yang curam.  Lebih tidak tercapai oleh akal bila memikirkan bagaimana mereka membawa set janakuasa itu meniti jambatan buluh gantung dengan selamat.  Tapi yang pasti, mereka adalah penduduk Kampung Semban yang sentiasa tabah.



Kami dimaklumkan, set janakuasa tersebut dipikul sendiri oleh penduduk kampung secara gotong-royong menggunakan tenaga lapan orang dewasa bersilih ganti.  Manakala ketika meniti jambatan buluh gantung pula, tenaga empat orang digunakan.








Kebersihan Amalan Bersama




Bersih! tiada secebis sampah yang ditemui


Sepanjang jalan-jalan mengelilingi kampung, satu perkara yang kami perasan iaitu penekanan aspek kebersihan yang menjadi amalan penduduk kampung.  Sedikit mencuit hati bila memikirkan papan tanda besar tertulis"Dilarang Membuang Sampah" di kawasan bandar, tetapi masih ada yang tidak tahu membaca.  Di Kampung Semban, notis seumpama itu tidak diperlukan.








 Baruk / Panggah




Baruk atau Panggah, turut kelihatan gong sepanjang 25 kaki yang dikenali sebagai Sebakng


Baruk ini merupakan tempat untuk menyimpan koleksi tengkorak musuh-musuh dan tempat menjalankan upacara keagamaan untuk menenangkan roh tengkorak-tengkorak musuh. Sekarang ia tidak lagi diamalkan kerana
kebanyakan kaum Bidayuh telah beragama Kristian.








 Alunan Muzik Hletong




Untuk pengetahuan, Hletong ini telah ditempah oleh Deckson.


Hampir sejam menghabiskan masa menikmati suasana senja di Kampung Semban, kami seterusnya singgah di rumah Asan Dayeng, 59, pakar membuat alat muzik tradisional masyarakat Bidayuh.  Alat muzik yang diperbuat daripada buluh ini dikenali sebagai Hletong dan dijual pada harga RM35.00 sebuah.





Menurut Asan, dalam sehari dia boleh menyiapkan lapan buah Hletong dan pernah menerima tempahan sebanyak 67 buah sekaligus.  Untuk membuat alat muzik ini, terlebih dahulu buluh  akan dipotong mengikut ukuran yang sesuai sebelum diraut membentuk tali. Hletong yang telah siap akan dijemur sekurang-kurangnya seminggu bagi memastikan ianya cukup kering dan mampu menghasilkan bunyi yang diinginkan.





Hletong menghasilkan bunyi seperti gong tetapi lebih merdu dan halus apabila dimainkan.  Ia juga boleh dimainkan pada bila-bila masa sebagai ganti gong dan tidak perlu mengikut
pantang larang gong.





Masa berlalu cukup pantas, tiba masa untuk beredar kerana lebih banyak perkara menarik yang berlaku pada hari ketiga kami di kampung ini.  Nantikan kisah selanjutnya.






































Kampung Semban: 3# Air Terjun Susukng & Pent











Selain menawarkan pakej eko pelancongan yang mewah dengan cabaran, satu lagi daya tarikan  yang terdapat di Kampung Semban ialah air terjun Susukng dan Pent yang terletak tidak jauh dari kampung.



Rasa lenguh-lenguh
pada otot kaki akibat berjalan jauh pada hari pertama tidak menjadi
penghalang untuk kami meneruskan ekspedisi pada hari kedua.  Tepat jam
9.00 pagi, kami mula bergerak dan
kami difahamkan, perjalanan dari Kampung Semban ke salah satu lokasi air terjun  akan mengambil masa kira-kira 45 minit berjalan kaki.






Hari kedua ekspedisi turut dilimpahi dengan cabaran - Photo by Uncle Awang



Sekali lagi, kami dimanjakan dengan keseronokan yang disulami dengan cabaran sepanjang perjalanan merentas hutan belukar.  Pada masa yang sama, Kampung Semban tetap menyajikan menu utamanya iaitu laluan berliku di samping memberi peluang kepada kami  memperbaiki teknik catwalk setiap kali meniti jambatan buluh.








Dalam perjalanan, kami menemui dua spesis tumbuhan periuk kera.




Sepanjang perjalanan seperti biasa, Uncle Sagen tidak pernah lokek berkongsi pengetahuannya mengenai tumbuh-tumbuhan hutan.  Peluang seumpama ini sering saya manfaatkan untuk berehat dan menghirup udara segar.








Uncle Sagen menunjukkan cara untuk membuat tali daripada kulit pokok


Perjalanan menuju ke lokasi air terjun terpaksa mengambil masa lebih lama kerana sesekali kami berhenti untuk merakamkan gambar dan mengambil nota ringkas tentang benda baharu yang kami pelajari daripada Uncle Sagen.








Kami juga ditunjukkan sejenis tumbuhan yang digunakan sebagai bahan bakar.  Kayu ini terlebih dahulu perlu dikeringkan sebelum digunakan dan ianya mampu bertahan seharian sebagai bara api bagi menjimatkan mancis.




Kira-kira 10 minit kemudian kami terjumpa perangkap samar babi hutan yang cukup berbahaya.  Uncle Sagen turut menunjukkan cara bagaimana perangkap tersebut berfungsi.  Menurutnya, tali halus direntangkan di tengah jalan dan anak panah yang diperbuat daripada rotan beracun akan menusuk sasaran sekiranya tali tersebut tersentuh.








Di Lokasi Air Terjun Susukng




Longgokan batu-batu besar yang terdapat di kawasan air terjun Susukng


Bunyi deruan air terjun semakin kedengaran dan akhirnya kami sampai ke lokasi pertama iaitu air terjun tertinggi Susukng.  Di sini, kami dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melangkah pada batu-batu licin yang diselaputi lumut hijau.








Di air terjun Susukng, tiada kawasan yang sesuai untuk berkelah kerana keseluruhan kawasan dipenuhi dengan longgokan batu-batu besar dan licin.  Menurut Uncle Sagen, para pengunjung dilarang untuk pergi terlalu hampir dengan air terjun atas faktor keselamatan.






Kami cuma meluangkan masa beberapa minit untuk menikmati sepenuhnya keindahan air terjun Susukng yang tersergam megah dan hanya kelihatan mesra pada lensa kamera.







Di Lokasi Air Terjun Pent




Perjalanan menuju ke air terjun Pent sedikit sukar kerana kami harus menuruni cerun bukit berbatu yang tinggi dan licin.    Setengah jam kemudian kami disambut dengan panorama indah di kawasan air terjun Pent yang dikatakan paling cantik di antara 13 buah air terjun yang terdapat di kampung ini.






Berada di sini dapat membuatkan perasaan kita tenang, aliran air yang sejuk dan nyaman menyentuh kulit seolah-olah menjadi terapi kepada jiwa.  Manakala percikan buih-buih airnya pula menyegarkan minda sekali gus membuatkan kita bersyukur di atas anugerah alam yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita.






Satu lagi yang menarik perhatian di kawasan air terjun Pent ini ialah  lekukan lubang pada batu yang unik dan ada di antaranya seperti kesan tapak kaki manusia.






Saujana mata memandang itulah yang dapat digambarkan.  Pemandangan mengikut arah aliran air tidak tercapai oleh pandangan mata.  Masih banyak rahsia alam yang tersembunyi di sebalik kampung terpencil ini yang akan lenyap dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi memberi laluan kepada pembangunan projek empangan Bengoh.






Sempat juga saya merakamkan aksi Uncle Awang yang begitu asyik mengambil gambar dari pelbagai sudut.  Kalau tidak silap, memang beliau sudah lama mengimpikan saat untuk mengambil seberapa banyak gambar air terjun.  Ternyata impian menjadi kenyataan.






Ketua Ekspedisi, Deckson STB merupakan orang yang paling enjoy ketika berada di sini.  Bijak memanfaatkan peluang, aliran deras air terjun digunakan untuk aqua massage dan menghilangkan segala keletihan.






Ini merupakan gambar terbaik yang berjaya saya ambil selepas beberapa cubaan.  Teknik menggambar ini saya praktikan berdasarkan teori yang diajar oleh Uncle Awang.  Berapa bintang yang anda boleh berikan untuk gambar ini?






Kami menghabiskan masa lebih dua jam berkelah di air terjun Pent sambil menikmati makan tengahari ringkas.  Kami bergerak pulang sekitar jam 1.00 petang dan tiba di rumah pada jam 2.30 petang.  Seterusnya, (Bahagian 2) kami bersiar-siar di sekitar Kampung Semban yang masih kaya dengan adat resam.







Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |














Kampung Semban: 2# Ekspedisi Bermula




Ekspedisi bermula! - Photo by Uncle Awang


Kami memulakan ekspedisi pada kira-kira jam 11.00 pagi
dengan menuruni lereng bukit yang sedikit curam.  Pada saya ini satu
permulaan yang nampak mudah!  Bagaimanapun, jangkaan saya meleset kerana
hanya dalam beberapa minit kemudian kami bukan sahaja menuruni tetapi
juga lebih banyak mendaki lereng-lereng bukit yang curam.





Kurang dari 10 minit berjalan, saya sudah merasakan
tekanan pada otot-otot kaki dan bebanan beg yang dipikul di bahu terasa
semakin berat.  Percaya atau tidak, dalam tempoh  kurang setengah jam
pertama, saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk mengambil nafas.  Ini yang dinamakan cabaran!






Perasaan gayat dan lutut agak mengeletar ketika meniti jambatan buluh gantung pertama - Photo by Uncle Awang



Cabaran tidak terhenti di situ, kami seterusnya berhadapan dengan dua jambatan buluh gantung yang masing-masing panjangnya dianggarkan antara 80 meter hingga 100 meter dan
ketinggian dua jambatan itu dari permukaan air pula dianggarkan 15 meter
hingga 20 meter. 






Perasaan
lega terpancar di wajah saya & Uncle Awang setelah selamat
menyeberangi jambatan buluh gantung yang pertama - Photo by Deckson STB


Nampaknya
meniti jambatan buluh gantung bukanlah mudah, orang luar seperti kami
perlu mengambil langkah lebih perlahan dan berhati-hati.  Ada kalanya,
lutut terasa seperti jeli semasa berada di tengah-tengah jambatan tetapi
hembusan bayu lembut yang menyapa pipi seolah-olah memahami dan memadam semua perasaan gementar yang ada.







Ini
merupakan jambatan gantung buluh kedua dan terpanjang yang terpaksa
dilalui untuk ke Kampung Sait, Bojong, Rejoi dan Kampung Semban. 
Empat kampung terbabit tidak memiliki kemudahan jalan raya walaupun
dikatakan telah wujud sejak kira-kira 60 tahun lalu.




Kami tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika meniti
jambatan buluh gantung kedua walaupun bergerak perlahan, ini kerana aspek keselamatan
tetap menjadi keutamaan.  Menurut Uncle Sagen, jambatan ini selamat
dilalui oleh dua hingga tiga orang dewasa.  Menariknya, setiap jambatan buluh yang dilalui membuatkan kami semakin mahir menggunkan teknik catwalk











Sampai di simpang Kampung Sait pada jam 12.45 tengahari - Photo by Deckson STB


Hampir sejam berjalan termasuk masa rehat, akhirnya kami tiba di simpang Kampung Sait.  Perjalanan diteruskan dan  kali
ini kami lebih banyak mendaki serta menuruni bukit yang ditarah menjadi
tangga-tangga kecil yang diletakkan belahan buluh sebagai alas dan
sokongan.  Sama seperti di awal perjalanan tadi, saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk memulihkan tenaga.   







Tercengang seketika melihat Uncle Sagen berlari menaiki tangga-tangga buluh dengan membawa bekalan air dan makanan kami termasuk membawa beg saya - Photo by Deckson STB


Walaupun agak keletihan tetapi untuk patah semangat masih belum terlintas difikiran pada waktu itu.  Ada satu ketika di mana Uncle Sagen menawarkan diri untuk membawa beg  saya mendaki bukit berikutan pergerakan saya yang semakin perlahan akibat keletihan.







Bertongkatkan kayu tanpa bebanan di bahu.  Ketika ini hanya berbekalkan kekuatan minda - Photo by Deckson STB




Kampung Bojong menjadi stesen rehat seterusnya - Photo by Uncle Awang


Pada jam 2.30 petang, kami tiba di Kampung Bojong dan di sini kami mengambil kesempatan untuk berehat sambil menikmati minuman berkarbonat yang dibeli dari kedai runcit milik penduduk kampung di sini sebelum bergerak semula.









Papan tanda arah ke Kampung Semban di sebelah kiri, sementara simpang ke kanan menuju ke Kampung Rejoi.


Selepas beberapa minit berjalan, kami tiba di papan tanda arah Kampung Semban.  Peringatan! ini cuma papan tanda arah dan bukan bermakna Kampung Semban sudah di depan mata.  Perjalanan mencabar yang perlu diharungi sebenarnya masih bersisa tiga jam lagi sebelum tiba ke destinasi yang dituju.








Laluan yang nampak mudah pada penglihatan mata kasar - Photo by Deckson STB












Sesekali kami berselisih dengan penduduk kampung dan ada kalanya kami terpaksa berhenti bagi memberi laluan kepada penduduk kampung.  Bayangkan, setelah berjam lamanya berjalan meredah hutan, meniti beberapa jambatan buluh, mendaki dan menuruni bukit tetapi kami masih berjaya dipintas oleh penduduk kampung.







Ini merupakan antara laluan yang paling sukar untuk kami sebelum sampai ke pondok rehat.  




Selepas Kampung Bojong, perjalanan kebanyakannya memerlukan kami mendaki.  Bagi mengurangkan perasaan tertekan, saya memfokuskan mata ke bawah kerana ada satu ketika saya merasakan kami terpaksa mendaki sejauh 100 meter untuk sampai ke permukaan yang rata.  Keletihan juga membuatkan kami tidak pernah terfikir untuk menghitung berapa banyak lereng bukit yang telah didaki. Seperti biasa Uncle Sagen
jauh mendahului kami dan akan menanti kami di perhentian tertentu.







Sampai ke Kunt Ilau (pondok rehat) pada jam 3.10 petang - Photo by Deckson STB


Perasaan lega seketika apabila akhirnya berjaya juga sampai ke pondok rehat ini pada jam 3.10 petang.  Di sini kami bertemu kembali penduduk Kampung Semban yang berjaya memintas perjalanan kami. Salah seorang daripada mereka merupakan wanita yang sedang sarat mengandung tujuh bulan.  Sungguh menakjubkan!







Pemandangan yang dirakamkan dari pondok rehat - Photo by Deckson STB


40 minit masa rehat yang ada, saya manfaatkan sepenuhnya untuk meregangkan otot-otot sambil menghirup udara segar serta menjamu mata dengan panorama indah di depan mata.  Di kesempatan yang ada juga digunakan untuk beramah-mesra dengan penduduk kampung yang turut sama berehat di situ.


 




Pada jam 3.52 petang, kami bergerak semula.  Kali ini hujan yang turun semakin menyukarkan pergerakan kami.  Kelihatannya, bukan sahaja pohon-pohonan dan sang bayu ingin menyapa kehadiran kami, malah hujan juga tidak mahu ketinggalan menyambut kehadiran kami ke Kampung Semban.  Sebelum meneruskan pendakian, kami berhenti rehat seketika di satu kawasan yang terdapat aliran mata air - Photo from Deckson STB




Perjalanan masih terasa jauh dan seperti tiada penghujungnya sehinggalah kami melihat  bumbung Gereja Kampung Semban yang terselindung di sebalik anak tangga yang tinggi, menandakan anda sudah tiba di Kampung Semban.   - Photo by Deckson STB




Selamat Datang ke Kampung Semban!






Keletihan tapi gembira kerana berjaya mengharungi cabaran yang menduga keupayaan fizikal dan kewarasan minda - Photo by Deckson STB


Kami tiba di rumah Uncle Sagen pada kira-kira tepat jam 5.46 petang dan kehadiran kami disambut oleh isteri beliau Kipin Rawon dengan hidangan pembuka selera iaitu bubur ubi dan kopi panas.  Enam jam perjalanan yang cukup mencabar, itu merupakan satu rekod membanggakan pada saya.  





Sementara, Deckson, 41 dan Uncle Awang, 59 mungkin dapat melakukannya dalam tempoh lima jam tanpa saya.  Lebih menarik lagi, Uncle Sagen  tidak lokek berkongsi pengetahuannya mengenai tumbuh-tumbuhan di hutan di sepanjang perjalanan kami dari empangan Bengoh hingga ke Kampung Semban.





Anda di luar sana yang gemarkan percutian yang mewah dengan cabaran, apa kata anda memilih Kampung Semban untuk dimasukkan dalam kalendar percutian anda.  Adventure, Nature & Culture at Village Above The Clouds.  Nantikan eksplorasi kami di air terjun Susukng dan air terjun Pent yang tidak kurang mencabar pada hari kedua berada di perkampungan terpencil ini.