Kampung Semban: 1# Sebelum Ekspedisi Bermula




Kg Semban, destinasi yang dituju


Kampung Semban merupakan sebuah perkampungan terpencil
yang lokasinya terletak di kawasan puncak tinggi pada ketinggian lebih
400 meter
dari paras laut di Gunung Kapang Sibanyang, berhampiran sempadan
Sarawak/Kalimantan, Indonesia.  Perkampungan yang terletak di bawah
pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan ini dihuni oleh kira-kira 350 
etnik Embhan iaitu salah satu etnik dalam pecahan masyarakat Bidayuh.







Dari kiri: Deckson STB, Uncle Awang, Sagen Adan & Jawlinda


Untuk sampai ke
destinasi, ekspedisi yang diketuai
oleh Deckson Bundak (STB Tourist Coordinator), Uncle Awang dan saya
perlu memasuki kawasan tapak Projek Empangan Bengoh.  Kawasan ini merupakan
satu-satunya jalan yang menghubungkan empat buah kampung iaitu Kampung
Sait, Kampung Bojong, Kampung Rejoi dan Kampung Semban ke jalan utama di
Kampung Bengoh, jika mereka hendak ke Kuching atau daerah lain.  








Sagen Adan

Kehadiran kami di
situ disambut
mesra oleh Sagen Adan, 52, beliau merupakan salah seorang daripada lima
pengusaha pelancongan berkonsep eko pelancongan di Kampung Semban. 
Terdahulu, kami terpaksa melalui prosedur pemeriksaan di pos kawalan
kawasan  empangan Bengoh sebelum dibenarkan masuk. 









Kedai runcit


Di sini, terdapat satu-satunya kedai runcit yang menjadi
tumpuan penduduk empat buah kampung terbabit mendapatkan bekalan
keperluan harian yang dijual pada harga berpatutan.







Tempat mengambil & menurunkan penumpang


Selain itu,  kawasan ini juga menjadi stesen perhentian untuk menurunkan dan mengambil
penumpang yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong.







Rosip Ayau, porter


Sempat juga saya berbual-bual dengan salah seorang penduduk tempatan yang mengambil upah bekerja sebagai porter
Rosip Ayau, 37, memberitahu beliau mengambil upah mengangkat tong gas
dua kali seminggu untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan (SK) Semban. 
Menurut Rosip, dia akan dibayar sebanyak RM40.00 oleh pihak sekolah
untuk satu trip.







Ketua ekspedisi, Deckson STB, 41, tidak
ketinggalan cuba menguji kekuatan fizikalnya dengan mengangkat tong gas
yang beratnya melebihi 16 kilogram.


Mengangkat
bebanan seberat 10 hingga 30 kilogram dan berjalan kaki 
berjam-jam lamanya merentasi hutan, mengharungi denai di lereng-lereng bukit
yang curam serta meniti jambatan buluh sudah menjadi perkara biasa bagi
penduduk di sini.  Malah, golongan wanitanya juga mampu mengangkat beban yang beratnya melebihi 10 kilogram.







Sagen Adan, kemudiannya menunjukkan teknik betul mengangkat bebanan tersebut.




Difahamkan, kampung terdekat iaitu Kampung Sait memakan masa perjalanan
selama satu jam berjalan kaki,
Kampung Bojong dalam tempoh satu setengah jam dan Kampung Rejoi pula,
lebih dua jam. 










Sebelum
memulakan ekspedisi, lensa kamera saya sempat merakamkan gambar
sepasang suami isteri bersama cucu mereka yang dalam perjalanan pulang
ke Kampung Semban.





















Manakala dari kampung yang paling jauh iaitu Kampung Semban yang menjadi destinasi utama kami, memerlukan
masa empat jam untuk sampai ke tepi jalan utama Kampung Bengoh. 





Itu merupakan rekod masa bagi penduduk tempatan, bagi orang luar seperti kami sudah pasti mengambil masa yang lebih lama iaitu lima hingga enam jam berjalan kaki termasuk masa rehat.  Bersambung ... Nantikan bahagian kedua, hari pertama ekspedisi ke Kampung Semban.










Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |















 





2 comments:

CathJ said...

Very interesting!! :)

Mrs.MyGaman BorNeo said...

@CathJ Ya, interesting & challenging.