Kampung Semban: 5# Matahari Terbit Di Gunung Kapang




Kira-kira tujuh jam lena
tanpa diulit mimpi dan sesekali dikejutkan oleh rasa sengal pada otot
kaki, akhirnya tiba hari di mana kami harus berdepan dengan satu lagi
cabaran iaitu mendaki  ke puncak Gunung Kapang pada ketinggian melebihi
1000 meter dari paras laut.









Kelihatan cahaya matahari tersembunyi di sebalik awan



Untuk menyaksikan suasana matahari terbit di lokasi paling tinggi
di Gunung Kapang, kami bangun seawal jam 5.00 pagi untuk bersiap
dan cukup sekadar membasuh muka ala-ala cerita P.Ramlee sebelum bertolak dari rumah  sekitar jam 5.30 pagi.







Lautan awan umpama gumpalan kapas gebu

Menurut Uncle
Sagen, bermula dari rumah beliau, kami akan melakukan sebanyak 1750
langkah untuk tiba di puncak gunung ini.  Jelasnya, pendakian yang akan
menyebabkan anda bermandi peluh ini mengambil masa 15 hingga 20 minit
sahaja bagi penduduk tempatan, tetapi saya mencatatkan rekod kira-kira 40
minit untuk sampai ke lokasi.  Bukan mudah untuk mendaki dengan hanya berbekalkan cahaya lampu suluh.







Deckson & Uncle Awang, masing-masing sibuk mengambil gambar

Berada di sini
untuk merasai sendiri pengalaman melihat matahari terbit perlahan-lahan
di sebalik lapisan awan, sukar digambarkan dengan kata-kata.  Ianya
lebih cantik daripada apa yang anda lihat di gambar.  Jadi, tidak hairanlah kenapa Kampung Semban mendapat gelaran "Paradise Above The Clouds"







Di puncak Gunung Kapang anda boleh menghubungi sesiapa sahaja menggunakan telefon bimbit

Sayang sekali,
kami tidak dapat menyaksikan matahari terbit yang betul-betul bulat kerana terlindung oleh awan.  Tapi berjaya mendaki hingga ke puncak sudah
cukup berbaloi dan patut dibanggakan.  







Sekumpulan penduduk kampung yang datang melihat kebun mereka

Kami seterusnya meluangkan masa hampir sejam di atas sana sambil menikmati minuman panas dan berbual-bual dengan penduduk kampung yang datang mengusahakan tanah pertanian mereka berhampiran kawasan view point ini. 






Terserempak dengan penduduk kampung ketika dalam perjalanan balik



Bayangkan, setiap
hari mereka mendaki Gunung Kapang untuk bercucuk tanam, saya percaya
penduduk di sini tidak akan berhadapan kesukaran sekiranya mereka berhajat untuk menawan puncak
Gunung Kinabalu.







Kebun lada di Gunung Kapang

Hairan kenapa mereka sanggup bersusah-payah membuka kebun di kawasan ini, saya kemudianya mengajukan soalan tersebut kepada pemilik tanah.  Saya diberitahu,  hasil tanaman mereka sering di serang penyakit  ketika ditanam di kawasan tanah rendah.  Keadaan ini membuatkan mereka beralih ke kawasan yang lebih tinggi.  Selain lada, mereka juga menanam padi bukit dan tembakau.






Laluan yang dialas dengan belahan-belahan buluh

Perjalanan pulang menuruni lereng-lereng bukit hingga ke rumah Uncle Sagen cuma mengambil masa 10 minit berbanding 40 minit masa naik.






Akhirnya tiba di kawasan kampung - Photo by Deckson STB






Kampung Semban tidak pernah menjanjikan laluan yang rata - Photo by Deckson STB











Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |












0 comments: