Berkongsi khasiat ikan bersama si Putih










"Kucing tidak akan menolak ikan" ... begitu jugalah si Putih.  Si Putih ni, pantang terhidu bau ikan ... gerenti dia menjadi peneman setia saya di dapur.  




Si Putih ni kira kucing yang cukup berhemah dan bersopan santun ... selalunya si Putih mesti tunggu kami dua si gaman makan baru la dia menyibuk minta ikan. 




Dari proses menyiang ikan sampailah digoreng dan dihidangkan ... si Putih tetap setia dan sabar menanti sambil hidungnya menikmati haruman ikan yang sedang digoreng  ^_^




Dalam si Putih lepak-lepak di atas peti sejuk menanti dengan setia makanan kegemaran setiap kucing-kucing di dunia ini ... saya pun sibuk-sibuk juga merakam setia aksi comelnya.




Seekor untuk saya ... seekor untuk si gaman ... dua ekor dan kepala ikan untuk si Putih ^_^




Sekadar ikan kembung goreng saja, si Putih tidak la aggresif sangat ... tapi kalau ada ikan sardin panggang atau goreng ... fuhhh ... aggresif yang melampau sampai menggigit-gigit kaki.  Pasal itu la kami dua si gaman jarang berlaukkan ikan sardin di rumah.



Alang-alang bercerita pasal ikan ... apa kata saya kongsikan antara khasiat ikan yang saya perolehi daripada Majalah Wanita.  Selain kaya protein, ikan juga mengandungi lemak, vitamin dan mineral. Dari segi PROTEIN, ikan mengandungi kandungan protein yang terdiri daripada asid amino penting yang tidak akan rosak walaupun ketika dimasak. 



Kandungan protein pada ikan berbagai-bagai dan ia bergantung kepada kandungan lemak dan airnya. Namun secara umum, ikan mengandungi 13 - 20% protein.  Protein ini dapat membantu pertumbuhan sel otak, sehingga ikan sering disebut makanan penunjang kecerdasan. Difahamkan juga, disebabkan serat proteinnya yang sedikit, ia mudah dicerna oleh tubuh badan biarpun pada bayi sekalipun.  Kandungan kolagen pada ikan juga jauh lebih rendah dari haiwan ternakan lain, iaitu 3 - 5% dari total protein.






Ikan juga sesuai untuk mereka yang mementingkan pengambilan jumlah LEMAK dalam hidangan harian.  Bagi yang bimbang berat badan bertambah, anda tidak perlu ragu-ragu lagi untuk memakan ikan.  Ini kerana, kandungan lemak pada ikan hanya antara 1 - 20% sahaja.  Sebahagian besar daripada kandungan lemaknya itu pula amat berguna untuk tubuh badan kita, antaranya berfungsi untuk menurunkan kadar kolesterol dalam darah.  







Selain itu, ikan dikatakan mempunyai dua kelompok VITAMIN iaitu vitamin larut dalam air seperti vitamin B6, B12, Biotin dan Niasin.  Vitamin ini banyak terdapat pada ikan yang dagingnya berwarna gelap.  Sementara kelompok kedua, vitamin larut dalam lemak iaitu vitamin A dan D yang terkandung pada minyaknya. Kandungan MINERAL pada ikan jumlahnya lebih banyak antaranya magnesium, zat besi, yodium dan selenium.  Jadi banyakkan makan ikan untuk kesihatan ^_^












0 comments: