Kad Ucapan vs Facebook




Berapa banyak kad ucapan seperti kad krismas, kad hari raya, kad gawai ... yang anda terima pada tahun lepas???








Segalanya menjadi Mudah, Ringkas, Cepat & Jimat dengan Facebook demikianlah yang dapat diungkapkan mengenai kelebihan yang ada pada rangkaian sosial Facebook yang menjadi kegilaan ramai pada hari ini.  Rangkaian sosial maya Facebook dikatakan lebih menyeronokkan dan mesra pengguna jika dibandingkan dengan rangkaian sosial lain seperti Twitter, Friendster dan lain-lain.






Menerusi aplikasi yang terdapat pada Facebook, komunikasi atau interaksi dengan keluarga dan rakan-rakan yang dekat mahu pun yang jauh bukan lagi suatu masalah, malah ia juga menjadi medium yang paling mudah digunakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim.  Selain itu, aplikasi yang ada pada Facebook juga membolehkan pengguna mencari dan berhubung semula dengan rakan-rakan yang telah bertahun-tahun tidak ditemui.






Mengaitkan penggunaan Facebook dengan perayaan Hari Raya dan Krismas pada tahun 2010, nampaknya setiap pengguna Facebook termasuklah saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan  laman sosial popular ini untuk saling bertukar salam ucapan Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Natal.  Bagi mereka yang kreatif akan turut menyelitkan gambar-gambar kad untuk ditagkan kepada rakan masing-masing sebagai pengganti kad perayaan.




Jika dahulu, kecanggihan teknologi e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perantara komunikasi lain menjadi saingan kepada tradisi menghantar kad-kad perayaan seperti kad ucapan Hari Raya, Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali, kini kewujudan rangkaian sosial maya seperti Facebook, Friendster dan Twitter antaranya menyebabkan penghantaran surat atau kad konvensional dengan menggunakan kaedah mel  semakin tersisih.



Mungkin ramai dikalangan kita beranggapan bahawa tradisi menghantar kad ucapan menerusi kaedah mel sudah tidak relevan untuk dipraktikkan lagi.  Bagaimana pun sama ada kita sedar atau pun tidak, sambutan setiap perayaan pada suatu ketika dahulu bukan sahaja meriah tetapi juga cukup bermakna dengan kehadiran kad-kad ucapan daripada saudara mara dan rakan-rakan.


Jika dahulu, kita sanggup bersesak-sesak dan berbelanja lebih semata-mata untuk menghantar dan membalas kad-kad ucapan perayaan yang kita terima, kini terdapat lambakan kad-kad ucapan di luar sana yang masih menanti-nantikan pembelinya.  Jadi sejauh mana tradisi menghantar kad ucapan menerusi kaedah mel masih relevan dipraktikan pada hari ini? Rasanya setiap kita ada jawapannya yang tersendiri.






Secara peribadi saya berpendapat, sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan semula kegemilangan tradisi menghantar atau membalas kad ucapan setiap kali menjelangnya perayaan .... Sudah kira-kira 10 tahun saya tidak terima kad krismas melalui pos ... malah ucapan Happy Birthday pun lebih mudah menerusi Facebook.















0 comments: